Kisah Di Sebalik Kejayaan Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008.
Ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 diumumkan
seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal membuat kejutan apabila
mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Kejayaan pelajar dari
Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu,
Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang
hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM
sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Beliau yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar
menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa
menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga
RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga
malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat
dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat
orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
WARTAWAN: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan
pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru,
pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat
bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang
seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat
sejarah dengan 20A.
WARTAWAN: Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
NIK NUR MADIHAH: Keputusan ini adalah di luar
jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha
dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya
kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan
ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak
mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar
ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.
WARTAWAN: Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
NIK NUR MADIHAH: Ibu bapa dan guru-guru banyak
memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.
Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20
mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan
keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan
sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya
mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya
kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.
WARTAWAN: Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
NIK NUR MADIHAH: Amat baik, malah guru yang menyelia
saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan
bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya
sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.
WARTAWAN: Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
NIK NUR MADIHAH: Kehidupan kami sekeluarga amat
sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya
mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata
saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada
wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya
cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.
Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya
menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai
pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.
WARTAWAN: Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
NIK NUR MADIHAH: Saya belajar di ruang tamu,
Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua
daripadanya tinggal di asrama.
WARTAWAN: Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, malah saya menjadikan ia
satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Kehidupan yang
sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan
saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah
tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.
WARTAWAN: Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
NIK NUR MADIHAH: Kalau tinggal di asrama kos lebih
tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana
tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah
mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan
oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.
WARTAWAN: Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, ayah tidak mampu. Saya
beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata
pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan
belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu
tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah
mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.
WARTAWAN: Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
NIK NUR MADIHAH: Seperti saya jelaskan tadi, banyak
berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya
timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa
menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk
peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).
WARTAWAN: Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
NIK NUR MADIHAH: Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.
WARTAWAN: Apakah hobi dan cita-cita saudari?
NIK NUR MADIHAH: Hobi saya ialah membaca, kalau ada
masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani.
Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak
ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.
WARTAWAN: Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
NIK NUR MADIHAH: Di luar negara tetapi tempat khusus
atau universiti mana saya tidak kisah. Saya akan melakukan sembahyang
istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat
pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran.
Fakta Mengenai Nik Nur Madihah.
* Dalam zaman serba canggih ini, Madihah tidak pernah keluar daripada
Kelantan tetapi mengetahui tentang semua tempat disebabkan selalu
melayari internet.
* Disebabkan tidak ada duit, dia hanya melayari internet di perpustakaan awam dan membaca buku atau novel kegemarannya di situ.
* Ibu bapanya mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi, walaupun susah dan
kadang-kadang terlepas makan kedua ibu bapanya mengumpul duit sedikit
demi sedikit untuk membeli komputer bagi mendedahkan anak-anaknya
tentang IT.
* Adiknya yang ketiga merupakan pelajar tajaan Permodalan Nasional
Berhad (PNB) dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru
Salak Tinggi. Yang kedua belajar di Sekolah Menengah Teknik Bachok dan
bekas pelajar MRSM Kota Putra.
* Biar pun susah bagaimana sekali pun Madihah tidak pernah meminta-minta
dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa malah menjadikannya
sebagai satu cabaran.
* Madihah seorang pendiam dan agak pemalu, sepanjang tempoh wawancara
dibuat Madihah cuba menyembunyikan kesusahannya sehingga ada beberapa
jawapan datang daripada ibu dan gurunya.
* Madihah kata keputusan percubaan SPM nya teruk, 14 A dan 5 B.
* Rumah Madihah memang sempit, hanya selesa untuk 4 orang sahaja tetapi
satu yang pelik walaupun di luar sangat panas tetapi dalam rumah tidak
terasa sangat walaupun bersesak dan beratap zink.
* Ada sebuah universiti tempatan menawarkan tempat untuk Madihah, bukan untuk peringkat sarjana muda tetapi PhD.
Kisah kejayaan Nur Madihah membuktikan tidak kira siapa anak nelayan,
anak penoreh getah, anak petani, anak peguam, anak doktor dan anak
menteri semuanya boleh berjaya. Yang penting ialah berusaha dan belajar
tanpa mengenal erti jemu untuk berjaya.
Tips-tips Kecemerlangan Daripada Nik Nur Madihah.
Beliau menggariskan beberapa tips yang diamalkannya yang banyak
membantu beliau menghadapi 20 subjek yang diambilnya. Antara yang sempat
disenaraikan oleh beliau adalah seperti berikut:
# Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa
di dalam kelas. Para pelajar diingatkan supaya memberikan tumpuan dan
tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses
pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal,
bersembang dan bermain-main di dalam kelas.
# Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang
masih boleh diganti tetapi yang terbuang tidak akan dapat digantikan
lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah
sebenarnya pencuri masa.
# Suka bertanya. Sikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan
penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau
mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik
dan sains.
Di antara slogan-slogan yang menjadi pegangan beliau adalah:
! 99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.
! Belajar dari kesilapan.
! Usaha yang terbaik dan bertawakkal – Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong.
! Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa.
! Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.
kredit: wowberita
sumber: Greenboc
Bapa yakin Madihah tidak mudah terpengaruh.
Nik Mohd. Kamal Husin bersama isterinya, Mariani Omar ketika ditemui di kediaman mereka di Kota Bahru, semalam.
KOTA BHARU 4 Jan. – Ayah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yakin anaknya tidak
akan mudah terpengaruh dengan budaya Barat apabila melanjutkan
pelajaran ke United Kingdom Ogos nanti.
Nik Mohd. Kamal Husin, 43, berkata, beliau percaya pegangan agama
yang kukuh dan hubungan erat dalam keluarga akan menjadi bekalan penting
untuk Nik Nur Madihah menjalani kehidupan di negara orang.
Menurutnya, anak sulungnya itu yang kini mengikuti pengajian tahun
akhir A Level dalam bidang Fizik Tulen di Kolej Tuanku Jaafar, Mantin,
Negeri Sembilan sentiasa melakukan solat istikharah sebelum membuat
apa-apa keputusan berkaitan hidupnya.
Katanya, Nik Nur Madihah masih mengekalkan identitinya memakai tudung
labuh dan berjubah sekalipun dalam suasana pelajar pelbagai kaum.
“Walaupun dia masih belajar dalam negara tetapi suasana di tempat pengajiannya itu sudah mirip kepada keadaan di negara Barat.
“Lebih ramai pelajar bukan Melayu yang berada di sana dan Madihah
diejek sebagai ‘budak pakai khemah’ tetapi itu bukan masalah bagi anak
saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kurnia Jaya di
sini, hari ini.
Menurut Nik Mohd Kamal, anaknya yang menerima pembiayaan biasiswa
Bank Negara sudah menerima surat tawaran daripada beberapa universiti
terkemuka di UK namun belum lagi membuat keputusan.
Jelasnya, walaupun dia hanya seorang nelayan dan isterinya, Mariani
Omar, 44, suri rumah, namun mereka sentiasa berhubung dengan Nik Nur
Madihah melalui kemudahan Internet dan telefon.
Katanya, kejayaan Nik Nur Madihah memperoleh 20 A dalam SPM 2008 telah mendorong tiga adiknya untuk lebih tekun belajar.
Jelasnya, dua daripadanya sedang mengikuti pengajian di Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia manakala anak
bongsunya di tingkatan dua Sekolah Menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi.
Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan