Ahad, 28 Februari 2016

KEMAHIRAN PDP DALAM ABAD KE-21


Salah satu perubahan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang ialah kemahiran abad ke-21. Kemahiran abad ke-21 adalah kemahiran pembelajaran yang diperlukan oleh pelajar untuk berdaya saing pada milenium baru. Kemahiran abad ke-21 dapat dikaitkan dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan pada zaman ini.

Salah satu kemahiran abad ke 21 ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sejajar dengan perkembangan pendidikan pada masa sekarang. Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira namun literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat. Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh memupuk kemahiran abad ke 21. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber seperti google.

Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog. Contohnya, kebanyakan pelajar pada zaman sekarang mempunyai akaun laman sosial seperti facebook, melalui laman ini guru boleh memuat turun nota atau latihan kepada pelajar. Pendekatan ini lebih menarik minat pelajar untuk belajar.  Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.

Kemahiran teknologi maklumat dan inovasi turut melahirkan pelajar kreatif dan inovatif yang dapat mengembangkan pemikiran mereka dan amat berguna apabila berada di dunia pekerjaan. Dengan adanya aspek ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan berkesan kerana berjaya menarik tumpuan pelajar. Misalnya, dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelajar dapat mengakses maklumat tanpa had dengan hanya menggunakan enjin carian seperti google atau yahoo mereka dapat memperoleh banyak maklumat dengan hanya menggunakan hujung jari. 

Antara elemen-elemen yang turut terkandung dalam kemahiran teknologi maklumat dan inovasi adalah kreativiti dan inovasi (creativity and innovation), pemikiran kritis dan penyelesaian masalah (critical thinking and problem solving), komunikasi dan kolaborasi (communication and collaboration),  literasi maklumat (information literacy), literasi media (media literacy), literasi teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), ICT (Information, Communications and Technology) Literacy), fleksibiliti dan mempunyai keupayaan menyesuaikan diri (flexibility and adaptability), berinisiatif dan mempunyai haluan diri (initiative and self-direction) serta  kemahiran sosial dan antara-budaya (Social and Cross-Cultural Skills).

Sebelum kemahiran yang melibatkan ICT dikuasai, pelajar abad ke-21 perlu menguasai kemahiran 3M yang meliputi Membaca, Mengira dan Menulis. Penguasaan kepada 3M ini adalah asas kepada perkembangan pendidikan abad ke-21 dan bilangan masyarakat Malaysia yang buta huruf dapat dikurangkan sekiranya penguasaan terhadap 3M dapat ditingkatkan dan seterusnya kemahiran yang melibatkan ICT turut dapat ditingkatkan. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilakukan agar tidak wujud lagi masalah penguasaan 3M. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza perlu untuk meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid. Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah.

Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit. Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori yang gagal mencapai matlamatnya. Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari. Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa. Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif, yakni masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang jauh ke hadapan serta menjadi penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan dan merupakan salah satu kemahiran abad ke-21. Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu membentuk warganegara kreatif dan berketerampilan yang mengamalkan budaya sains dan teknologi.

Warganegara yang berbudaya sains dan teknologi mempamerkan ciri-ciri seperti bersemangat ingin tahu dan ingin mencuba, celik sains, bersifat terbuka, membuat keputusan berdasarkan fakta yang nyata dan tepat serta menghargai sumbangan sains dan teknologi. Warganegara sedemikian dapat dibentuk sekiranya pendedahan awal kepada sains dan teknologi diberikan. Sains secara amnya dilihat sebagai satu bidang ilmu pengetahuan dan juga sebagai satu kaedah inkuiri dalam penyelesaian masalah. Sebagai satu bidang ilmu pengetahuan, sains membekalkan satu rangka konsep yang membolehkan kanak-kanak memahami alam sekeliling mereka.

Ilmu pengetahuan sains ini akan menjadi lebih bermakna kepada murid jika mereka dibantu menghubungkan fakta dan konsep, membuat pengitlakan dan mengaitkan pembelajaran baru dengan ilmu yang sedia ada. Ini membolehkan mereka memahami situasi dan maklumat baru. Sebagai satu kaedah inkuiri dalam penyelesaian masalah, sains dapat memperkembangkan kemahiran untuk menyiasat alam sekitar mereka di samping mendapatkan ilmu pengetahuan. Inkuiri secara saintifik juga memerlukan dan membolehkan murid memperkembangkan sikap yang positif. Pembelajaran sains dapat menggalakkan semangat ingin tahu, kreativiti, berfikiran terbuka, ketabahan, ikram terhadap hidupan dan menghargai alam sekitar. Sains di peringkat sekolah rendah membolehkan murid mempelajari tentang diri sendiri dan alam sekitar mereka melalui pengalaman dan juga penyiasatan.

            Di samping itu, kemahiran interpersonal dan intrapersonal juga termasuk dalam kemahiran abad ke 21. Kemahiran interpersonal merujuk kepada kebolehan seseorang itu untuk berkomunikasi dengan orang lain yang melibatkan penyelesaian masalah. Manakala kemahiran intrapersonal pula ialah komunikasi yang berlaku di dalam diri seseorang. Komunikasi ini dibentuk dalam diri seseorang dalam proses untuk menyampaikan maklumat. Menurut Capstone (2001) maklumat yang dibentuk dalam diri seseorang melalui komunikasi intrapersonal terbahagi kepada dua iaitu maklumat yang disampaikan secara lisan dan maklumat yang disampaikan secara tidak lisan. Contoh komunikasi secara tidak lisan ialah keadaan muka, nada suara dan sentuhan tangan. Kedua-dua kemahiran ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam menuju pendidikan abad ke 21. Walaupun terdapat perbezaan karakter bagi kedua-dua kemahiran ini. Namun, kemahiran yang mereka gunakan berkesan untuk diri mereka dalam proses pembelajaran.

           Kemahiran komunikasi juga merupakan perkara penting dalam kemahiran abad ke 21. Kemahiran berkomunikasi terdiri daripada beberapa elemen iaitu:
·        kemahiran berkomunikasi melibatkan komunikasi yang berkesan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam konteks yang berlainan dan dengan peserta komunikasi yang berlainan, kebolehan menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan dengan penuh keyakinan, secara lisan dan bertulis.
·         Kebolehan mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberi maklum balas.
·     Kebolehan membuat pembentangan secara jelas dengan penuh keyakinan dan bersesuaian dengan tahap pendengar.
·        Kebolehan menggunakan teknologi dalam pembentangan.
·        Kebolehan berunding dan mencapai persetujuan.
·        Kebolehan berkomunikasi dengan peserta komunikasi yang mempunyai budaya berlainan.
·        Kebolehan mengembangkan kemahiran komunikasi perseorangan.
·        Kebolehan menggunakan kemahiran bukan lisan.

Kemahiran-kemahiran ini penting bagi membentuk perhubungan di kalangan pelajar. Melalui kemahiran komunikasi ini, pertukaran pemikiran dan idea menerusi lisan dan tulisan akan berlaku sebelum perkongsian idea berlaku untuk kepentingan bersama.

Bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad-21, seseorang guru atau pendidik itu perlu komited dalam :
·         Menguasai pelbagai bidang
Penting bagi seseorang pendidik untuk sentiasa bersedia menguasai ilmu bagi menjadikan diri mereka relevan dan sesuai dengan perubahan yang berlaku. Ini kerana guru yang mempunyai kombinasi beberapa ilmu pelajaran lebih baik berbanding dengan guru yang cuma menjurus kepada satu bidang sahaja. Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam, seseorang guru itu perlu ‘berani’ mencuba sesuatu yang baru seperti menggabungkan pengetahuan Sains (Komputer) dengan Pendidikan Islam (Pendekatan Bersepadu). Bagi memastikan seseorang pendidik (guru) itu mampu menguasai pelbagai bidang, mereka (guru) hendaklah mengamalkan pembelajaran berterusan supaya guru sentiasa mengikuti perubahan yang berlaku dan menjadikan diri sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran.
·         Mengikuti Perkembangan tentang Dasar dan Isu Pendidikan.
Seseorang guru yang berpengetahuan akan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku khususnya perkembangan tentang dasar serta isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang akan memberi impak kepada profesion perguruan serta perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dasar-dasar seperti dasar sains dan teknologi (sekolah berasaskan ICT) perlu diteliti dan difahami bagi membentuk guru yang berwibawa sekali gus membantu kepada melahirkan generasi yang berkualiti dan berkemahiran.
·         Mahir Dalam Pedagogi (Pengajaran & Pembelajaran).
Kekuatan profesion perguruan dalam memastikan hasrat melahirkan generasi berkemahiran abad-21 juga bergantung kepada kecekapan seseorang guru itu menguasai pengetahuan pedagogi. Pengetahuan pedagogi ini bukanlah berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan ‘lapuk’ tradisional yang mana sistem P&P diamalkan terlalu bergantung kepada guru (teachers-centered). Bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran abad-21 ini, seseorang guru itu ‘wajib’ mencuba untuk mengadaptasikan pedagogi inovasi teknologi di dalam P&P contohnya pembelajaran berbantukan komputer. Ini kerana pengetahuan dan kebolehan guru mengadaptasikan kaedah P&P yang inovatif akan memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pencapaian pelajar.
·         Menggunakan Teknologi Terkini.
Seseorang guru itu seharusnya mengorak langkah dan mengambil peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang. Penggunaan teknologi itu bukan sahaja dijadikan sebagai satu mekanisme di dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bagi menyelesaikan urusan harian.
·         Menerapkan Nilai-nilai Murni (Akhlak).
Beretika merupakan satu elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara. Di samping pendedahan kepada teknologi, seseorang guru itu juga harus menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila di dalam hubungannya sesama rakan sekerja.

Kemahiran  yang diwujudkan dalam kemahiran abad ke-21 ini sejajar dengan perkembangan yang dialami oleh negara dalam bidang pendidikan. kemahiran ini penting dalam menuntut kemajuan yang dapat mencapai matlamat pendidikan pada alaf 21 yang merangkumi pelbagai aspek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan