PENGENALAN
Kurikulum adalah ‘core’ kepada ‘business’
pendidikan. Ia merupakan satu rancangan pendidikan yang membendung
segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur-unsur
kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk
diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi kepada satu generasi
lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan
individu dan engara. Dalam Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran (1979) kedua-dua keperluan dihuraikan seperti berikut :
" Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk
membina perkembangan murid yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal
dan emosi serta menyemai, menanam dan memupuk nilai-nilai akhlak yang
diingini, di samping menyampaikan ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara
Malaysia, kurikulum itu juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang
mendokong cita-cita negara dalam mweujudkan perpaduan yang berpandukan
Rukunegara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk
keperluan negara. "
[ Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) ]
Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan
pendidikan yang lengkap bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan
individu dan keperluan negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus
dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini
sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang.
Pembangunan tenaga manusia dan tenaga rakyat
menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan danpembekalan tenaga
pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan
perdagangan sahaja. Y.A.B. Perdana Menteri telah menghuraikan bentuk,
corak dan tumpuan yang perlu dilakukan.
"Kita mestilah mempunyai hasrat untuk mencapai
taraf yang setinggi-tingginya dari segi ketrampilan pada rakyat kita,
dari segi penghargaan mereka akan kemahiran dan pengetahuan serta
kemajuan diri, dari segi kemampuan diri, dari segi kemampuan berbahasa,
dari segi sikap mereka terhadap kerja dan disiplin, dari segi motivasi
mereka terhadap kecemerlangan dan terhadap mendorongkan semangat
keusahawanan".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
"Kita mestilah memastikan bahawa terdapat satu
adunan yang seimbang antara golongan profesional, separa-profesional dan
ahli ketukangan, selain terdapatnya imbangan yang wajar antara
orang-orang mempunyai kemahiran dalam bidang sains dan teknologi,
sastera dan ilmu-ilmu sosial".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
Kurikulum bagi abad ke 21 perlu dibentuk supaya
relecan dan koheran dengan keadaan pada masa itu dan boleh memenuhi
matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang bentuk, isi dan
pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan (dictated) oleh senario
yang dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad ke 21, mestilah bersifat
futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak
masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke 21 mestilah dapat
menangani cabaran yang akan dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu
dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa depan mereka dan mampu
membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan
nilai-nilai semasa.
FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM
Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat
Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan
mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari
segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum
semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas
tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
- kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
- kemahiran berkomunikasi secara berkesan
- kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
- kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
- kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
- kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
- kemahiran kepimpinan dan pengurusan
Di dalam usaha ini kurikulum perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :
(a) Pembelajaran Koperatif
Kurikulum berkisar dalam bentuk tugasan,
permasalahan dan projek yang dijalankan oleh pelajar dalam kumpulan yang
mengandungi berbagai tahap kebolehan. Penglibatan diri dalam kemahiran
‘interpersonal’ merangkumi kemahiran membuat keputusan, mengendalikan
konflik dan mengekalkan hubungan baik antara ahli kumpulan.
(b) Berfikir Secara Kritis dan Reflektif
Fokus aktiviti kurikulum kepada kebolehan membuat
pilihan dan keputusan berlandaskan sebab-sebab yang rasional serta
justifikasi. Minda yang kritis berupaya mengenal pasti andaian-andaian,
idea, pandangan membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang
lebih baik atau penghasilan produk baru.
(c) Pengembangan Kreativiti
Kurikulum perlu banyak menonjolkan
aktiviti-aktiviti yang kreatif termasuklah berfikir secara logik,
membina daya imaginasi dan boleh memberi pandangan.
Kreativiti-kreativiti dapat dipupuk apabila individu tersebut diberi
galakan.
(d) Kemahiran Generik
Kemahiran-kemahiran generik bolehguna dapat
menyediakan tenaga pekerja yang mahir, cekap dan berketrampilan di
tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketrampilan menjadi
aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai kepakaran akan begitu
mobile dan kerap bertukar kerja. Penguasaan kemahiran generik memberi
peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam bidang yang berlainan.
(e) ‘Multilinggualism’
Arus globalisasi dan ledakan maklumat memerlukan
kebolehan pelbagai bahasa untuk Rakyat Malaysia perlu menguasai dua
bahasa atau lebih (selain daripada Bahasa Melayu) supaya boleh
berkomunikasi dengan berkesan, dan berupaya menggunakan segala maklumat
dalam pelbagai bahasa.
(f) Patriotisme dan Ketatanegaraan
Kesinambungan pembinaan semangat patriotisme dan
identiti kebangsaan dilanjutkan. Kebudayaan nasional, ideologi dan
aspirasi nasional akan dapat mengukuhkan lagi identiti kebangsaan dan
membentuk bangsa Malaysia yang berwibawa dan bermoral tinggi.
(g) Penghayatan Nilai-Nilai Murni
Pemupukan dan penghayatan nilai murni masyarakat
Malaysia dilanjutkan di samping nilai-nilai baru masyarakat moden. Hanya
insan baik, beradab dan bermoral tinggi mampu menguasai ilmu-ilmu baru
tanpa mengorbankan agama, akhlak dan kebudayaan bangsa. Insan baik,
sedar insaf bahawa ia perlu menguasai ilmu bagi melaksanakan tugas
terhadap dirinya, Tuhan, keluarga dan masyarakat manusia serta alam
sekelilingnya.
(h) Pelbagai Kecerdasan
Setiap individu mempunyai kecerdasan dan
kebolahan yang berbagai. Kesemua potensi seperti yang disarankan dalam
teori Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences) iaitu
verbal-linguistik, logiko-matematik, muzik, spatial, bodily-kinesthetic,
inter-personal, dan intrapersonal diberi tumpuan. Ini dapat melahirkan
individu yang holistik dan seimbang.
(i) Kemahiran Belajar Untuk Belajar
Kemahiran belajar diajar seiringan dan
disepadukan dengan pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Kemahiran
membaca pantas, mencari dan memilih maklumat, merujuk, membuat nota,
menulis ringkasan, bercakap di khalayak ramai dan sebagainya diberi
penekanan dan disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
ORGANISASI KURIKULUM
Pendidikan Prasekolah
Penekanan kurikulum kepada kemahiran dan
pengetahuan, di samping menurut 'graded objectives' (konsep Mastery
Learning) dan 'activity-based'. Program yang anjal, (flexible) dan tidak
formal. Proses pembelajaran secara tidak formal melalui konsep bermain
sambil belajar. Bermain-menjalankan aktiviti secara terancang dan tidak
tirancang (bebas) mengikut objektif yang disarankan dalam garis
kurikulum. Pembelajaran berlaku semasa aktiviti dijalnkan sama ada dalam
bentuk pengalaman, hasil kerja dan lain-lain. Penekanan kesediaan yan
kukuh bagi kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) melalui bermain. Ini
merupakan kesediaan bagi kanak-kanak yang akan menghadapi ujian
diagnostik pada tahun 3 (program Lompat Kelas). Kawalan harus
dititikberatkan supaya gugu tidak mengajar 3M 'right away'.
Perlunya ada kesinambungan prasekolah- tahun 1
dijalankan agar pengalaman prasekolah tidak disia-siakan di tahun 1.
Kemahiran yang telah dikuasai oleh kanak-kanak prasekolah patut
disambung di tahun 1, serta diulang dan dipulihkan pada tahun 1 jika
kanak-kanak tidak menguasainya. Bagi mereka yang telah bersedia,
pengukuhan dijalankan untuk mngayakan pengalaman mereka di samping
mengurangkan kebosanan mempelajari perkara yang sama.
Pendidikan Rendah
Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5 hingga 7
tahun. Keanjalan tempoh belajarnya ini memungkinkan kanak-kanak cerdas
pintar menamatkan pendidikan rendah dalam tempoh 5 tahun dan kanak-kanak
yang kurang berkeupayaan dalam tempoh 7 tahun. Walau bagaimanapun,
umumnya, tempoh pendidikan rendah adalah 6 tahun.
Matlamat
Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah
untuk memastikan perkembangan potensi kanak-kanak secara bersepadu,
menyeluruh dan seimbang. Aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani
diperkembang ke arah melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan
berakhlak mulia.
Struktur Organisasi
Struktur organisasi kurikulum mengandungi
komponen-komponen yang membantu perkembangan kanak-kanak secara
bersepadu. Komponen-komponen yang dicadangkan ialah :
- Komunikasi
- Matematik, sains dan teknologi
- Kerohanian, nilai dan sikap
- Kemanusiaan dan kesenian
- Perkembangan diri
- Kokurikulum
- Komunikasi
Fokus utama kurikulum merangkumi Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Ketrampilan berbahasa
seperti bertutur, membaca dan menulis dengan berkesan ditekankan
terutama dalam bahasa pengantar sekolah (Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil). Kemahiran-kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris, Bahasa
Cina dan Bahasa Tamil juga diberi penekanan.
(ii) Matematik, Sains dan Teknologi
Berfokus kepada kemahiran asas-asas operasi
matematik, kemahiran proses sains dan teknologi penguasaan pengetahuan
asas diberi perhatian.
(iii) Kerohanian, Nilan dan Sikap
Tumpuan kepada pemupukan sikap dan nilai murni masyarakat. Pengetahuan dan amalan agama Islam dilanjutkan seperti sedia kala.
(iv) Kemanusiaan dan Kesenian
Ilmu pegetahuan tentang kemasyarakatan dan
kemanusiaan setempat dan global didedahkan. Melalui kesenian kreativiti
bakat dan daya appresiasi dipupuk.
(v) Perkembangan Diri
Merangkumi perkembangan jasmani dan kesihatan dan
mental. Perkembangan mental seperti pemikiran kritis, menyelesai masalah
dan membuat keputusan gaya kehidupan yang sihat merentas kurikulum.
(vi) Kokurikulum
Lanjutan kepada kurikulum bilik darjah, dalam bentuk
pelbagai aktiviti. Keigatan-kegiatan persatuan, sukan dan pasukan
pakaian seragam dilanjutkan.
Oleh kerana tempoh persekolahan lebih anjal,
dicadangkan supaya kandungan kurikulum dipertingkatkan mengikut
kebolehan dan keupayaan pelajar seperti berikut :
Peringkat Asas : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan lemah]
Peringkat Umum : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan sederhana]
Peringkat Tinggi : [untuk kumpulan cerdas pintar sahaja] (advances)
Pendidikan Menengah
Pendidikan di peringkat ini diberi dalam
jangkamasa lima tahun. Pelajar diberi peluang bersekolah sehingga mereka
berumur 17 tahun supaya lebih bersedia untuk memasuki pasaran
pekerjaan. Ia memberi peluang murid-murid mengikuti beberapa jenis
kursus agar dalam tahun-tahun kesepuluh mereka boleh belajar berdasarkan
bakat dan kemampuan serta menentukan bidang pekerjaannya untuk masa
depan.
Matlamat
Matlamat pendidikan menengah adalah untuk
memperkembangkan potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan insan yang
seimbang, berakhlak mulia dan berketrampilan untuk pembangunan negara.
Struktur Organisasi
Kurikulum peringkat menengah digubal tiga peringkat iaitu :
Kursus Peringkat Asas :
- Mengembangkan kemahiran untuk kehidupan positif dan produktif
- Mengajar mata pelajaran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan
- Mengembangkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran peribadi dan aplikasi praktikal
- Mengajar kemahiran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan taupun untuk melanjutkan program pendidikan di peringkat maktab/politeknik
Kursus Peringkat Tinggi
- Mengembangkan kefahaman tentang prinsip, teori, aplikasi praktikal dan isi kandungan kursus pengajian
- Mengajar kefahaman akademik untuk kemasukan institusi pengajian tinggi
Kursus-kursus pengajian dibahagikan kepada dua kumpulan
1. Kumpulan Teras
- Komunikasi
- Matematik, sains dan teknologi
- Kerohanian, nilai dan sikap
- Perkembangan diri
2. Kumpulan Elektif
Pelbagai mata pelajaran elektif ke arah pengkhususan ataupun alam pekerjaan.
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek
penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang abad ke 21 pelajar perlu
mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam
proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.
Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan
sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan
seperti komputer, multi media, cekera padat dan lebuh raya maklumat
seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar.
Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke 21 dibantuk
sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantukan guru dengan
penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan
pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna
kepada pelajar.
(a) Teknologi Maklumat/Komputer
Dalam konteks pendidkkan, teknologi maklumat
merupakan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian
elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses,
menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat seperti
INTERNET atau MULTIMEDIA atau HYPERMEDIA untuk membantu proses
pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat
memudahkan manusia berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar
maklumat dengan lebih canggih sama ada dalam bentuk data teks, imej atau
suara.
Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang
teknologi maklumat, untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini
kerana komputer beupaya meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai
ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di peringkat
rendah, menengah dan lepasan menengah.
Penggunaan multimedia seperti CD-ROM dapat membantu
meningkatkan penguasaan pelajar dalam pembelajaran. Ini kerana sesebuah
CD-ROM mampu menyimpan lebih kurang 20 buah ensklopedia yang tebal.
Malah penggunaan CD-ROM dalam menggalakkan pelajar lebih berdikari untuk
memperolehi ilmu.
Semua sekolah di Malaysia akan dihubungkan antara
satu sama lain melalui JARING dan seterusnya INTERNET. Pelajar kita akan
tergolong dalam 'global classroom'. Mereka berpeluang bersidang dan
bertukar pendapat tentang apa sahaja dengan rakan mereka di sekolah lain
malah dengan pelajar lain di seluruh dunia.
Dalam era ledakan maklumat dan timbunan ilmu,
pengunaan teknologi komputer menyemarakkan pelajar menyusun maklumat dan
pada masa yang sama mencari suatu fakta spesifik secara efektif dan
pantas.
(b) Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21
masih tetap berpusatkan pelajar. Malah ia perlu dipertingkatkan dariapda
apa yang diamalkan sekarang. Guru memainkan peranan lebih penting
kepada pelajar dengan melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam
semua aktiviti sama ada di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih
lagi berperanan sebagai pemudah (fasilitator) pembelajaran dan
berperanan sebagai pembekal maklumat.
Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu
dirancang oleh guru bagi membina dan mengukuhkan minat murid terhadap
pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan
berupaya untuk meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika itu
perlu dilatih untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan
rasa tanggungjawab.
Dalam rangka pengajaran dan pembelajaran berpusatkan
pelajar, tenaga pengajar/guru di sesebuah bilik darjah sekurangnnya
terdiri daripada seorang guru dan seorang pembantu guru untuk membimbing
pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas dengan dua
orang guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat
dan mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan
pelajar.
(c) Pendidikan Jarak Jauh
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan
inovasi kreatif dalam pendidikan diri abad ke 20 ke abad ke 21. Peluasan
PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat rendah lagi tidak
sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh
dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira
faktor-faktor berikut :
- Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari seminggu)
- Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
- Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
- Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
- Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui struktur modular
- Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi objektif yang jelas, alat ujian kendiri, aktkviti pembelajaran dan maklum balas pelajar.
(d) Pendekatan Modular
Pendekatan secara modular berperingkat kesukaran bagi
setiap tajuk disediakan dalam bentuk bercetak dan/atau CD-ROM untuk
satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan untuk semua mata
pelajaran di semua peringkat persekolahan.
Pelajar boleh beralih ke modul berikutnya apabila
selesai menggunakan modul yang disediakan tanpa menunggu arahan guru.
Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi pengajian tinggi
tempatan. Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan
pelajar.
(e) Mastery Learning
Pendekatan pembelajaran berfokus kepada penguasaan
pelajar terhadap sesauatu perkara yang diajarkan kepada mereka.
Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian diagnostik. Tindakan susulan
diberikan kepada mereka yang belum menguasai supaya kelemahan mereka
tidak terhimpun di akhir setiap pembelajaran.
(f) 'Tracking' dan 'Banding'
Bergantung kepada tahap penguasaan pembelajaran,
pelajar ditempatkan dalam beberapa kumpulan sama ada kumpulan asas
(basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan maju (advance).
Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical'
dan 'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut
kebolehan dalam mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah
boleh mempelajari matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai
kemahiran matematik Tahun 2.
(g) Sistem Kredit
Unit kredit adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang
diperlukan oleh pelajar untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah
ditetapkan bagi setiap kursus pengajian. Kerja-kerja kursus ini
termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja
makmal dan amali. Pelajar dibenarkan mengulang mata-mata pelajaran yang
tidak mencapai asas yang ditetapkan.
PENILAIAN
Aspek penilaian kemajuan pelajar adalah penting
untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat
tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk untuk membuat
perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan
perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat
kebolehan dan keupayaan pelajar.
(a) Penilaian Berasaskan Sekolah
Sekolah terus diberi mandat untuk mengendalikan
penilaiannya sendiri. Ini memandangkan hanya pihak sekolah sahaja yang
tahu tahap pencapaian muridnya. Pelajar dinilai mengikut tahap
masing-masing. Pelajar cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi
manakala pelajar yang sederhana dan lemah diberi tindakan susulan
melalui program pemulihan dan pengayaan.
(b) Penilaian Berterusan
Penilaian berterusan dijalankan untuk mempastikan
pelajar benar-benar sudah menguasai pengetahuan dan kemahiran yang
dikehendaki (mastery learning). Penilaian bertgerusan dapat mengenal
pasti tahap penguasaan pelajar supaya kelemahan pelajar diatasi dan
tidak terhimpun sehingga akhir pembelajaran.
(c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
Setiap subjek (mata pelajaran) mengandungi pelbagai
elemen, selain daripada pengetahuan dan kemahiran. Elemen-elemen sesuatu
subjek perlu diberi penekanan untuk menilai sama ada pelajar
benar-benar mengetahui dan menguasai subjeknya. Misalnya dalam subjek
Pengajian Kejuruteraan Awam, elemen-elemen seperti kebolehan
berkomunikasi, kebolehan mereka (design), kebolehan praktik, kebolehan
menyiasat, kebolehan mengurus dan kebolehan membuat anggara dinilai
bersama dengan pengetahuan.
(d) Penilaian Proses Di Samping Penilaian Hasil
Proses yang diambil untuk menghasilkan sesuatu projek
perlulah dinilai. Sekarang ini penilaian hanya dibuat apabila projek
itu siap tanpa mengambilkira prosesnya. Sebagai contoh jika seseorang
murid dikehendaki membuat praktikal di sesebuah kilang sebagai penyelia,
guru perlu membuat penilaian dari hari pertama hinggalah tamat tempoh
praktikalnya. Alat penilaian perlulah dibuat mengikut situasi, tugasan
dan bidang yang dinilai.
(e) 'Authentic Assessment'
'Authentic Assessment' bermaksud murid-murid dinilai
mengikut perilaku yang dikehendaki oleh guru. Murid-murid telah tahu apa
yang dikehendaki daripada mereka dan bagaimana mereka akan dinilai.
Penilaian ini menonjolkan kekuatan murid-murid dan intergrasi antara
pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dari pelbagai sumber. Satu
penilaian individu dan rakan sebaya menggunakan folio, ujian amali dan
penilaian berasaskan prestasi menggunakan faktor, konsep, pengetahuan
dan kemahiran berfikir yang tinggi.
(f) Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
Hasil pembelajaran adalah pengetahuan, kemahiran dan
nilai yang boleh diukur ataupun diperhatikan seperti yang telah
ditetapkan pada sesuatu peringkat persekolah/pembelajaran. Hasil
pembelajaran menerangkan tahap pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
sepatutnya telah dikuasai. Kriteria-kriteria tahap penguasaan
dikenalpasti dan penilaian menggunakan Ujian Rujukan Kriteria (CRT).
(g) 'Bench Marking'
'Bench Marking' merupakan satu proses pengukuran ke
atas hasil, proses dan prestasi ke arah satu tahap peningkatan yang
memuaskan tinggi. Penilaian dibuat secara berterusan sehinggalah pelajar
sudah dapat mencapai satu tahap penguasaan pembelajaran yang sesuai
dengan kebolehan dan keupayaannya. Tahap pencapaian boleh ditetapkan di
peringkat sekolah, daerah, negeri ataupun negara.
(h) Ujian / Peperiksaan Secara On-Line
Ujian dan peperiksaan perlu untuk menentukan piawaian
yang dibuat berdasarkan kepada hasilan pembelajaran yang terbaik.
Peratusan pelajar yang dapat mencapai atau mengatasi piawaian yang
ditetapkan memberi petunjuk kepada kualiti pembelajaran. Bagi memastikan
kualiti pembelajaran sentiasa tinggi, pelajar digalakkan menduduki
ujian penilaian apabila mereka sudah bersedia dan sudah menguasai hasil
pembelajaran yang ditetapkan.
PENUTUP
Perlu ditegaskan bahawa apapun bentuk reformasi
kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat hasil yang diharapkan jika
tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain,
kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan
mengambil perhatian yang berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan
hasrat penubuhan Sekolah Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan
kepada pembangunan prasarana teknologi, penyediaan latihan semula guru,
penyediaan bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan
pihak swasta, ibubapa dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan