Assalamualaikum. Entry saya
untuk kali ini ialah perkongsian tips-tips belajar kepada adik-adik yang
masih belajar terutamanya kepada adik-adik yang belajar di luar negara.
Melanjutkan pelajaran di luar negara
memanglah menjadi idaman setiap pelajar, tak kiralah pelajar-pelajar
sekolah menengah mahupun dikalangan adik-adik yang masih di bangku
sekolah rendah. Berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara tidaklah
bermaksud susah payah kita telah terbayar, malah sebenarnya ini
bermaksud ada susah payah yang lebih besar bakal menanti kita dihadapan.
Tidaklah saya bermaksud belajar didalam negara tidak susah, tapi dugaan
dan cabaran belajar di luar negara ini perlukan kepada lebih
kesungguhan dan konsistensi yang berpanjangan untuk berjaya.
Ingin saya kongsikan disini semoga
menjadi panduan kepada adik-adik yang masih belajar di luar negara,
ialah beberapa tips untuk mudah mengingat apa yang kita belajar.
Seringkali kita bertanya kepada diri, “Kenapa apa yang aku baca ni susah
nak ingat?” “Kenapa apa yang dulu dah baca, tapi bila dah dekat-dekat
nak exam ni dah lupa dah?” “Urghhh, semalam dah baca, hari ni
dah lupa dah!”, dan banyak lagi soalan-soalan yang timbul yang
membuatkan kita “frust”.
Saya sangat memahami, belajar di luar negara ini memang susah. Lecture dalam bahasa asing, buku-buku rujukan yang ada pun dalam bahasa asing, tutorial
dalam bahasa asing, soalan pepriksaan dalam bahasa asing, juga
rakan-rakan sekelas adalah rakyat-rakyat asing. Tidaklah saya nafikan
ada dikalangan kita yang mahir dan fasih berbahasa asing: Bahasa
Inggeris, namun saya yakin majoriti daripada kita hanya pada tahap
“cukup makan” sekadar melepasi par sahaja. Oleh itu, perlulah
ada pendekatan ataupun tips yang boleh kita applikasi dalam teknik
pembelajaran kita untuk mencapai kejayaan yang kita idam-idamkan.
Antara tips-tips yang boleh digunapakai ialah:
- Mula untuk belajar awal.
Kebanyakkan daripada kita hanya tunggu
apabila dekat dengan exam barulah kita nak mula belajar atau ulangkaji.
Kenapa tidak mahu mula awal-awal lagi, seawal bermulanya semester? Saya
yakin banyak yang perlu dibaca dan diulangkaji, oleh itu masa yang
diperlukan untuk menghadam dan mengingati satu-persatu isi-isi penting
juga panjang dan lama. Masa yang singkat beberapa minggu sebelum exam
bukanlah masa yang ideal untuk mengingat ilmu-ilmu baru, pada tahapan stress yang kemuncak ditambah lagi beberapa assignments yang akan due,
tidak mustahil tetapi adalah sangat susah untuk mengingat ilmu-ilmu
baru pada masa ini. Masa ini adalah masa yang sebenarnya sesuai untuk
mengulangkaji ilmu-ilmu yang sememangnya anda sudah hafal atau tahu.
Mulalah belajar daripada sekarang. Jangan ditunggu sehingga last minute,
baru kita nak mula belajar. Biarpun sedikit demi sedikit atau
semuka-surat kita belajar setiap hari daripada sekarang, nanti lama-lama
jadi bukit, daripada kita memerah otak kita untuk mengingat sebuah buku
seminggu sebelum tarikhexam.
- Mengulangkaji sedikit-sedikit.
Daya mengingat manusia adalah terhad.
Otak manusia tidak mampu untuk memproses dan mengingat banyak maklumat
yang datang kepadanya dengan sekaligus pada satu masa. Ia perlukan masa
untuk memproses dan juga untuk mengingat.
Cubalah untuk fokus kepada beberapa
topik-topik kecil ketika mengulangkaji. Buatlah satu jadual belajar.
Cubalah untuk habiskan ulangkaji hanya pada beberapa topik kecil setiap
hari. Contohnya: Isnin – Pneumonia, Selasa – COPD, Rabu – Asthma, Khamis – Pulmonary Embolism, Jumaat – Pneumothorax dan sebagainya, daripada terus untuk cuba menghabiskan satu bab Diseases of the Respiratory System sekaligus dalam masa sehari kemudian bertukar kepadasystem
yang lain hari berikutnya. Dengan cara begini lebih mudah untuk kita
memahami dan menghafal isi-isi penting berkaitan setiap topik-topik yang
dibaca.
- Cuba untuk faham, bukan hanya sekadar hafal.
Kajian telah menunjukkan bahawa apabila
kita faham sesuatu perkara atau mekanisma, ianya akan lebih lama kita
ingati daripada hanya menghafalnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya
kita membaca bagaimana sistemcardiovascular berfungsi, bermula daripada jantung melalui saluran darah i.e. aorta –> arteries –> arterioles –> capillaries –> veins –> vena cava,
kemudian kembali ke jantung, lebih mudah untuk kita lukiskan diatas
kertas gambar jantung dan saluran-saluran darah tersebut, kemudian kita
cuba fahami dengan membayangkan seolah-olah kita adalah sel-sel darah
yang melalui saluran-saluran darah tersebut. Dengan ini lebih membuatkan
kita faham bagaimana sistem itu berfungsi dan insyAllah ianya akan
lebih lama “melekat” dalam memori kita.
- Belajar menggunakan pelbagai deria.
Apabila anda membaca, kebiasaannya anda
hanya membaca (menggunakan deria penglihatan sahaja). Ada satu kajian
yang saya baca, yang mengatakan bahawa memori kita akan lebih terangsang
untuk mengingati sesuatu ilmu tatkala deria-deria kita terangsang.
Lebih banyak yang terangsang, katanya, lebih baik. Sebagai contoh,
membaca (melihat) sambil menulis nota (rasa dengan jari), lebih baik
daripada hanya membaca. Ataupun, membaca sambil membuat nota, dan sambil
mendengar musik, mengikut kepada artikel yang dibaca tersebut, adalah
lebih baik. Tetapi janganlah kita mendengar kepada musik-musik yang
bersuara atau berlirik, ianya akan mengganggu fokus kita, tetapi
dengarlah kepada musik-musik instrumental atau bacaan ayat-ayat
al Quran yang menenangkan hati dan fikiran kita, dan tidak
menghilangkan fokus kita kepada apa yang sedang kita belajar. Saya
yakin, teknik ini mungkin tidak berkesan kepada semua, tapi insyaAllah
kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk mudah mengingat,
bolehlah mencuba teknik ini sama ada sesuai dengan anda ataupun tidak.
- Menggunakan imej-imej sebagai bantuan.
Memori manusia lebih mudah mengingat
imej daripada perkataan ataupun fakta-fakta. Sebagai contoh, lebih mudah
untuk kita ingat apabila kita melihat gambar seekor kucing putih
berbelang kuning, ekor kembang berwarna kuning sepanjang lebih kurang 15
cm, bermata hijau, berbulu panjang, telinganya tinggi dan lain-lain
daripada dengan saya bercerita kepada anda sifat kucing tersebut ataupun
dengan anda membaca tulisan saya di sini berkaitan kucing tersebut.
Ini bukan hanya mudah terutamanya untuk
mengingati fakta, tapi juga tidak mustahil ianya boleh digunakan untuk
mengingati sesuatu mekanisma perbuatan atau gerak kerja sistem. Saya
dahulunya gunakan teknik ini ketika belajar untuk mengingat fakta-fakta anatomy tubuh badan manusia. Anatomy tubuh
manusia sememangnya sangat kompleks ditambah lagi dengan nama-nama
setiap organ dan tisu-tisu dalam badan manusia ini dinamakan dalam
bahasa latin, ini membuatkannya lebih susah untuk dihafal. Saya
selalunya akan lukiskan kembali bahagian tubuh yang saya cuba untuk
hafal tersebut dalam rajah skema yang sangat ringkas diatas kertas A4,
kemudian saya akan cuba untuk mengimbas kembali buku anatomy saya berserta gambar rajah skema saya di sebelah. Bila saya membaca teks buku anatomy tersebut, kali ini saya cuba untuk gambarkan rajah skema tersebut dalam minda saya, sambil baca sambil buat connection
kepada rajah skema tersebut (dalam kepala), dan alhamdulillah ianya
lebih mudah melekat dalam memori saya daripada hanya membaca teks buku
sahaja.
- Tidak mengulangkaji pelajaran atau membaca ilmu baru ketika dalam kepenatan.
Badan manusia ada kapasitinya, ada limitnya. Badan kita berfungsi dengan baik sekira ianya tidak didalam state kepenatan atau exaustion.
Begitu juga dengan otak kita untuk memfokus kepada apa yang kita baca
atau lakukan. Pastikan anda mendapat cukup rehat sebelum anda memulakan
ulangkaji. Ulangkaji dalam keadaan badan keletihan dan kepenatan
hanyalah membuang masa anda. Sekiranya anda rasa badan anda penat dan
susah untuk anda memfokus kepada teks-teks yang anda baca, eloklah
sekiranya anda tidur sejenak, kemudian bangun semula untuk menyambung
ulangkaji, daripada anda meneruskan juga ulangkaji tanpa sedikitpun yang
dapat anda ingat dalam memori anda.
Faktor pemakanan juga memainkan peranan
penting kepada kesihatan tubuh badan dan keupayaan untuk mengingat.
Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat. Cuba elakkan makanan ruji
dan makanan-makanan yang tidak sihat. Cuba juga untuk kurangkan
mengambil minuman-minuman bertenaga i.e. Red Bull, Livita, V, Mother,
Monster dan sebagainya. Minuman-minuman ini mengandungi banyak caffeine.
Terlalu banyak atau terlalu kerap mengambilnya, akan merosakkan badan
anda. Tabiaat mengambil kopi yang terlalu pekat dan kuat untuk stay-up malam untuk belajar juga sekiranya boleh, cubalah untuk elakkan.
- Manfaatkan masa yang ada sebaiknya.
Antara sebab kenapa kadang-kalanya kita
tidak dapat mengingati ilmu-ilmu yang telah kita pelajari ialah
kurangnya masa yang kita peruntukkan untuk mengulangkaji pelajaran dan
kita tidak memanfaatkan masa yang kita ada dengan sebaikya. Kita banyak
menghabiskan masa-masa lapang kita dengan membuat perkara-perkara yang
merugikan dan tidak bermanfaat kepada diri kita. Kita mampu menghabiskan
tiga atau empat jam dengan bermain komputer games atau melayari
kartun-kartun anime di komputer, tetapi kita merasa malas untuk
belajar atau mengulangkaji pelajaran. Kita menghabiskan sepanjang hari
dengan bermain play station atau Dota di komputer,
tetapi jarang kita habiskan masa seharian kita untuk kita ulangkaji
pelajaran yang telah kita pelajari di universiti pada hari tersebut.
Kita hanya akan tunggu untuk membuat ulangkaji apabila hanya tinggal
beberapa minggu atau hari sahaja lagi sebelum exam bermula.
Masa itu adalah kehidupan. Sekiranya
kita membazir masa kita, seolah-olah kita membazirkan kehidupan kita.
Saya amat mengkagumi diari kehidupan seorang president atau perdana
menteri, mereka boleh mencapai beberapa perkara dan boleh berada di
beberapa tempat dalam sehari. Sekiranya mereka mampu untuk memanfaatkan
masa mereka untuk mencapai beberapa matlamat dalam sehari, kita juga
mampu. Kita juga ada 24 jam sehari, sama seperti mereka.
- Ikhlaskan niat dan perbanyakkan amalan kepada Allah.
Saya amat mengkagumi mereka yang mampu
menghafal sebuah al Quran. Menghafal al Quran bukannya mudah. Menghafal
al Quran adalah menghafal perkataan demi perkataan tanpa salah atau
silap sedikitpun. Tidak sama seperti kita menghafal buku-buku rujukan
sains, kita hanya mengambil intipatinya sahaja, tidaklah kita menghafal
perkataan satu per satu.
Ilmu ini juga milik Allah. Allah yang
layak umtuk memberi ilmu ini kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan.
Ikhlaskan niat kita untuk kita gunakan ilmu ini kepada kebaikkan,
insyaAllah Allah akan membantu kita untuk mudah kita mengingat.
Para hafiz al Quran, antara tips yang
memudahkan mereka menghafal al Quran ialah dengan memperbanyakkan
amalan-amalan sunat seharian. Amalan-amalan sunat ini adalah pembersih
hati. Kata Imam Syafie, “Ilmu ini umpama cahaya. Cahaya susah untuk
memasuki hati-hati yang dipenuhi oleh titik-titik hitam (iaitu dosa)”.
Elaklah daripada melakukan dosa kepada Allah, ini termasuklah dosa-dosa
kecil, kerana dosa-dosa kecil inilah yang kelak memenuhi hati-hati kita,
dan menyukarkan kita untuk mengingat ilmu-ilmu yang kita baca.
- Nota ringkas atau mind-map.
Nota ringkas atau mind-map
sangat berguna terutamanya ketika untuk beberapa hari sebelum kita
menghadapi peperiksaan. Kalau kita sempat, semasa kita mengulangkaji
pelajaran, cubalah untuk membuat nota seringkas yang mungkin untuk jadi
rujukan kita kemudian sebelum peperiksaan nanti. Nota-nota ringkas in
hanya sebagai recap sahaja kepada apa yang kita dah baca dan
faham sebelum ini. Hari-hari sebelum exam bukanlah masa untuk kita baca
ilmu baru, atau buka semula buku rujukan yang telah kita baca dahulu,
tetapi hanya sekadar masa untuk kita recap intipati-intipati yang telah ada dalam memori kita.
- Perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam belajar, dan bersabar.
Sekiranya kita berusaha
bersungguh-sungguh untuk belajar, merasai keperitan untuk memperoleh
ilmu-ilmu ini, kita sebenarnya akan lebih menghargai apa yang kita dapat
dan selalunya akan lebih mudah untuk kita ingat apa yang kita belajar.
Kesusahan itu sesungguhnya mengajar. Imam Bukhari, seorang yang terkenal
dengan kebolehan menghafal ratusan ribu hadis-hadis sahih, telah
melalui fasa pembelajaran begini. Beliau terpaksa mengharungi padang
pasir yang panas beribu-ribu batu untuk hanya sekadar memperolehi satu
hadis. Atas kesungguhkan dan susah payah beginilah, akhirnya beliau
mampu untuk mengingat ratusan ribu hadis-hadis sahih didalam memorinya.
Saya yakin, kita juga mampu.
Tidak ada manusia diatas dunia ini yang
lahirnya genius. Manusia bijak pandai dan berjaya adalah lahir daripada
susah payah dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi sebelum menempa
kejayaan. Kejayaan tidak datang tanpa titik peluh. Titik peluh itulah
sebenarnya adalah azimat-azimat kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan