Bersama Menghayati Peristiwa Agung Israk Mikraj
Marilah kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang
berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah
Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT,
Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid
Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami.
Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”.
Surah Al-Isra’, ayat:1
Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah
Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW
iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi
Muhammad SAW pada malam hari dengan menuggang Burak bermula dari Masjid
Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis,
Palestin.
Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat
Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang
perjalanan itu:
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka,
apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum
lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad
“Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda
bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat yang berbau harum.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah
(tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang
dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu
mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali
dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikian dilakukan berkali-kali.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan
dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan.
Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan
yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing
mempunyai isteri / suami.
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan
gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat
fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan)
orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah
memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia
daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan
rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.
Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat
Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu
lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat
pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda
akan menjadi sesat.
Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat
Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang
perjalanan itu:
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda naik ke
atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu
Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat
melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk.
Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga
langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa AS dan Nabi
Yahya AS.
3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.
5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit
kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi
oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit
kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu
dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail)
lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000
orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit
kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang
sedang bersandar di Baitul-Ma’mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi
Ibrahim AS bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha’if, maka berdoalah
untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa
la quwwata illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS
bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga
itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah,
iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu
akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi
orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok
dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib.
Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan
mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di
Mekah).
8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” pada dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada
pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah
warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh
manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.
9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah SAW. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam
nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir,
hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus
dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata
kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian,
Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat
Islam.
Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan
kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada
Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang
itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu),
akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan
seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang
ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini
baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi
(bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu
riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah
kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa
yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati pengajaran di
sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya
memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan
takut akan kekuasaan-Nya.
Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada
peristiwa penting ini, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri
kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan
berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah
oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj juga, untuk menguji umat Islam
bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.
Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak
mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda
sesetelahnya bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam
ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj
baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk
akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan
teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh
baginda SAW.
Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan
pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW
berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat
Jirail AS dan sebagainya