Memaparkan catatan dengan label MAULIDUR RASUL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MAULIDUR RASUL. Papar semua catatan

Rabu, 23 Januari 2013

WALLPAPER PEDOMAN MAULIDUR RASUL

SKETSA MAULIDUR RASUL 1434H, TAHUN 2013

Tema Sambutan Maulidur Rasul 1434 / 2013



Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (hari Khamis) ialah seperti berikut:

WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH
(Tema peringkat kebangsaan)
sumber: http://www.islam.gov.my/ (Jakim)
Asal usul sambutan Maulidur Rasul - sumber klik di sini
Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda.

Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.

Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.

Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar.

Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya.

Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam.

Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.

Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus kea rah menyedarkan umat Islam kea rah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.

Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.

Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.

Sambutan ini perlu dibezakan dengan sambutan Barat terhadap sambutan hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong kek, menyanyi dan menari dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan hari lahir bagi orang yang hidup dengan mati.

Sambutan hari lahir orang yang masih hidup sepatutnya untuk mahabbah diri, amalan yang telah dilakukan dan menginsafi diri beberapa hari lagi yang berbaki untuk hidup.

Manakala sambutan hari kelahiran untuk orang yang sudah meninggal dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan yang baik sebagai motivasi hidup.

Jadi, amalan kita pada hari ini menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah. InsyaAllah. 

MAULIDUR RASUL; KEPERIBADIAN TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI


muhamad5


Pengenalan

Tanggal  12 Rabiulawal  merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal  pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.

Menghayati Perjuangan Nabi

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun  menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu  anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.

Keperibadian Terpuji

Masyarakat Arab  Quraisy  amat senang dengan keperibadian yang dimiliki oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy, pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir. Baginda  dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik  budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin.
Tetapi mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin membunuhnya?  Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah )  menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".

Ketokohan 

Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam  hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam  adalah bertanggungjawab  mempertahankan agama Allah.

Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.

Keadaan Kucar kacir

Keadaan dunia pada masa itu amat tenat dan kucar kacir. Manusia pada ketika itu telah berperangai  kebinatangan. Terlalu banyak kelakuan buruk yang melingkari masyarakat ketika itu. Bukan sahaja di semenanjung tanah Arab, bahkan di negara Parsi dan juga Rom. Kehidupan mereka sungguh teruk, meminum arak menjadi satu kebanggaan. Persundalan dianggap satu keseronokan, amalan riba' berleluasa dalam perniagaan, hidup berpoya-poya menjadi tanpa haluan.

Kekejaman yang dilakukan dianggap satu keperkasaan. Kekuatan digunakan untuk menindas. Kekuasaan digunakan untuk mengaut kekayaan. Para penguasa selalu dimuliakan bahkan kadangkala dianggap sebagai tuhan. Orang awam yang lemah selalunya di perhambakan. Kepandaian sering digunakan untuk menipu. Setiap saat akal sentiasa digunakan untuk berbuat jahat dan untuk memenuhi tuntutan nafsu. Demikianlah gambaran masyarakat ketika baginda diutuskan. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada masa kini adalah menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan yang paling sekali.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(al-ahzab 21).


Kesimpulan

Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat.  Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Sumber:    Akhbar Utusan Malaysia, JAKIM

DETIK-DETIK MENJELANGNYA WAFAT RASULULLAH