Isnin, 22 Julai 2013

Kerasulan antara 14 peristiwa lampau Ramadan

KEDATANGAN Ramadan turut menyimpan pelbagai peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Rasulullah saw, sahabat dan tabein.
Peristiwa ini cukup mustahak kerana ia menyingkap pelbagai pahit manis serta cabaran ditempuhi mereka dalam usaha mengukuhkan akidah manusia.
Begitu juga, ia membabitkan tarikh beberapa siri peperangan disertai umat Islam, di samping saat kematian tokoh Islam terkemuka.
Antara peristiwa bersejarah dilalui Rasulullah pada Ramadan adalah pelantikan Baginda sebagai rasul. Kejadian ini berlaku pada tahun ke-13 sebelum hijrah di Gua Hira’.
Ketika itu, Baginda menerima wahyu pertama iaitu lima ayat pertama dalam surah al-Alaq.
Sebaik menerima wahyu, Baginda terus menyampaikan dakwah Islam kepada keluarga terdekat, terutama isterinya, Siti Khadijah binti Khuwailid.
Ahli sejarah turut meriwayatkan bahawa Siti Khadijah memeluk Islam pada Ramadan.
Dalam pada itu, Ramadan turut menyaksikan peristiwa kematian Siti Khadijah selepas Rasulullah dilantik menjadi rasul.
Beliau adalah orang yang membantu mengukuhkan dakwah Baginda ketika mula-mula disebarkan kepada penduduk Arab jahiliah.
Beberapa peristiwa lain yang cukup penting dalam kalendar Islam berlaku sepanjang Ramadan, antaranya:
1. Perutusan rombongan tentera pertama oleh Rasulullah pimpinan Hamzah Abdul Mutallib pada tahun pertama Hijrah, disertai 30 tentera Islam;
2. Difardukan ibadat zakat dan solat dua hari raya pada tahun kedua Hijrah.
3. Peperangan Badar pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah;
4. Perutusan Zaid Harithah pada tahun keenam Hijrah ke kediaman Bani Fazarah bagi menggertak mereka kerana menghalang satu rombongan dagangan daripada menuju ke Madinah;
5. Pembukaan kota Makkah pada tahun kelapan Hijrah daripada tangan jahiliah;
6. Pengislaman rombongan kaum Saqif pada tahun kesembilan Hijrah selepas menemui Rasulullah di Madinah;
7. Kematian anak Rasulullah, Fatimah pada tahun ke-11 Hijrah;
8. Kematian Ali bin Abi Talib pada tahun ke-40 Hijrah;
9. Kematian Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar As Siddiq pada tahun ke-85 Hijrah;
10. Kematian Nafisah binti Al Husan bin Zaid bin Al Hasan bin Ali bin Abi Talib di Mesir pada tahun ke-208 Hijrah;
11. Peperangan Balat As Shuhada' pimpinan Abdul Rahman Al Ghafiqiy; dan
12. Peperangan 'Ain Jalut pada tahun ke-658 Hijrah dalam kepemimpinan Al Muzaffar Qutuz.
 



Petikan dan Sumber:
Berita Harian 15 Oktober 2004

Tiada ulasan:

Catat Komen