Memaparkan catatan dengan label KAEDAH BELAJAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KAEDAH BELAJAR. Papar semua catatan

Jumaat, 14 November 2014

TIP MENGHAFAL DENGAN PANTAS DAN BERKESAN

Teknik menghafal dengan berkesan. Menghafal perlukan daya ingatan yang kuat. Jadi untuk kita menghafal dengan baik kita perlu melatih daya ingatan kita agar jadi lebih kuat. Nampak mudah tapi susah juga kan, tapi tiada perkara yang susah selagi kita berusaha dengan tekun.
Perkara yang selalu kita terapkan dalam menghafal adalah faham. Kita perlu faham terlebih dahulu apa yang sahaja subjek yang ingin kita hafal. Ini akan membuatkan kita lebih senang untuk mengingati setiap fakta yang kita hafal.
Elemen dalam menghafal adalah input -> simpan -> output. Input adalah nota atau apa sahaja subjek yang ingin kita hafal, jadi cara input adalah membaca. Selepas menbaca kita akan simpan di dalam kotak memori kita di dalam otak kita. Dan akhir sekali adalah output, dimana kita perlu keluarkan balik apa yang kita baca tadi semula.

Teknik Menghafal Berkesan

Teknik yang kita guna adalah baca, ingat, gambarkan dan tulis.
1. Baca dengan kuat sehingga kita dapat dengar. Disini peringkat input, deria yang kita boleh guna sekarang adalah mata dan telinga. Jadi input kita lebih besar jika menggunakan dua deria untuk di muat naik ke dalam kotak memori kita.
2. Baca dan hafal. Cuba fahamkan apa yang kita baca. Baca dan ingat setiap patah perkataan. Buat sedikit demi sedikit, cuba hafal cuma satu baris ayat terlebih dahulu. 
3. Pejam mata atau tutup nota tadi dan cuba ulangan balik apa yang kita hafal. Jika kita terlupa, buka balik nota dan hafal semula. 
4. Semasa pejam mata cuba bayangkan nota atau ayat yang kita baca tadi, ini juga salah satu teknik menghafal yang berkesan. Sebab ingatan kita lebih kuat di dalam bentuk gambar.
5. Selepas kita berasa yakin, tutup nota dan cuba tulis semula apa yang kita hafal tadi. Jika masih ada nota yang kita terlupa, buka balik nota dan hafal balik. Dan akhir sekali cuba tulis semula apa yang kita hafal. Disini kita akan melatih otak kita untuk membuat recall balik terhadap apa yang kita baca dan hafal.

Selain itu kita juga boleh amalkan banyak tip dan cara untuk kuatkan ingatan. Baik dari segi permakanan dan juga teknik melatih otak kita untuk menguatkan daya ingatan.

Insyallah ... Semoga kita semua mendapat manfaat..AMIN.. 

Rabu, 10 Oktober 2012

TEKNIK MENCATAT NOTA BERKESAN

  • Adakah kamu menyediakan nota sendiri sejak awal lagi? 
  • Bagaimana bentuk nota kamu? 
  • Banyak sebab mengapa kita mesti mempunyai nota – yang kita tulis sendiri, kita sediakan sendiri, kita susun sendiri, dan kitalah pengarangnya. 
  • Membuat nota sendiri perlu dilakukan secara berterusan setiap hari, tidak semestinya menjelang peperiksaan saja.
    Cuba kamu ikut contoh Fazley, seorang penyanyi yang memperoleh 8A1 dalam SPM.
  • Dengan keputusan yang cemerlang itu telah melayakkannya melanjutkan pelajaran ke Victoria University, Welllington, New Zealand dalam bidang Perdagangan dan Pentadbiran. 
  • Tentu kamu tertanya-tanya , bagaimana dia boleh skor A dalam setiap mata pelajaran yang telah diambilnya. Fazley mula membuat nota kecil sejak di Tingkatan Empat lagi. 
  • Jika kamu mahu mengikuti jejak langkahnya, ayuh … jangan bertangguh … 
  • mulakan dari sekarang. 
  • Mari ikut teknik Fazley.

LANGKAH PERTAMA

  • Fazley menggunakan 12 batang pen berlainan warna termasuk beberapa batang highlighter sebagai persediaan membuat nota kecil. 
  • Sebenarnya, kamu boleh menggunakan kurang atau lebih daripada jumlah pen itu. 
  • Terpulang kepada kemampuan dan keselesaan kamu.  
LANGKAH KEDUA
  • Mula membaca buku teks dan buku rujukan. 
  • Sambil membaca, kata kunci atau kata penting diwarnakan. 
  • Pada masa yang sama, fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca. 
  • Bacalah mengikut bab atau topik. 
  • Tidak perlu baca banyak perkara. 
  • Yang penting kamu faham, kemudian baru buat nota.  

LANGKAH KETIGA
  • Sehelai kertas bersaiz A4 dilipat kepada 4 bahagian atau kolum  

LANGKAH KEEMPAT
  • Mula menulis nota mengikut kolum . 
  • Setiap kolum boleh dibahagikan kepada dua bahagian (subtopik) untuk satu bab ataupun kamu boleh jadikan keempat-empat kolum itu untuk satu bab sahaja. 
  • Di sebelah belakang kertas itu pula satu bab yang lain. 
  • Gunakan pen yang berlainan warna. 
  • Nota dicatat seringkas-ringkasnya agar dapat meningkatkan tahap ingatan.  

LANGKAH KELIMA

  • Setelah kata kunci ditulis, gunakan highlighter untuk tajuk dan perkara-perkara yang penting. 
  • Pastikan kamu gunakan warna yang selari untuk semua nota supaya fikiran kamu tidak keliru. 
  • Misalnya, jika warna kuning untuk isi-isi penting, maka gunakan warna yang sama untuk subjek lain pula. 
  • Contohnya, fAKTA – warna merah, HURAIAN FAKTA – warna biru, CONTOH - warna hijau 

LANGKAH KEENAM
  • Ambil sampul surat panjang. 
  • Tuliskan mata pelajaran. 
  • Kemudian, masukkan nota itu mengikut mata pelajaran. 
  • Bawalah nota itu ke mana-mana . 
  • Jika ada masa terluang , silalah baca . 
  • Untuk subjek yang melibatkan pengiraan seperti Matematik, Fazley menasihatkan pelajar agar menyediakan sebuah buku khas untuk membuat latihan pengiraan. 
  • Latihan perlu dibuat selalu agar pelajar biasa dengan corak soalan. 
  • Fazley berpendapat bahawa subjek Matematik memerlukan pelajar merangka jalan penyelesaian yang betul secara sistematik. 
  • Jalan penyelesaian yang betul akan menemukan jawapan yang tepat dan mendapat markah yang baik.
    Menurut Fazley, dia akan membawa nota tersebut ke mana-mana sahaja. 
  • Misalnya, ketika menunggu bas, dia tidak perlu membawa buku tebal, tetapi hanya membaca nota kecil itu. 
  • Fazley turut mengingatkan para pelajar agar membawa nota yang dibuat tanpa menunggu hari peperiksaan.
  • Kaedah di atas adalah berdasarkan pengalaman Fazley sendiri. 
  • Sebenarnya, ada banyak lagi teknik belajar mengikut keselesaan kamu. 
  • Belajar awal dan membuat nota pada peringkat awal dapat menimbulkan semangat yakin pada kebolehan diri dan kamu akan merasakan bahawa diri kamu telah cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan ketika pelajar lain baru hendak membuat persediaan. 
  • Dengan cara ini kamu mempunyai stamina untuk mengulang kaji semua mata pelajaran yang telah kamu buat mengikut kesesuaian kamu.
PETA MINDA
  • Kaedah membuat nota jenis peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan . 
  • Kaedah ini lebih menitikberatkan grafik dan kata kunci. 
  • Kaedah ini lebih efektif berbanding dengan kaedah biasa kerana kita dapat menyeimbangkan pengguanaan otak kiri dan otak kanan. 
  • Di samping itu, peta minda merupakan kaedah yag berkesan untuk mendapatkan semuala makluat daripada ingatan untuk ditukarkan kepada bentuk yang boleh dilihat. 
  • Peta minda boleh membantu kamu mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman. 
  • Melalui peta minda, kamuberhubung secara aktif dengan maklumat dalam ingatan kamu seoalah-olah kamu berbicara dengan daya ingatan kamu sendiri. 
  • Segala maklumat yang kamu susun dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan secara tepat dan mudah difahami.
 
PERSEDIAAN MEMBUAT PETA MINDA
  • Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar . Bacalah doa (bagi pelajar Islam) , duduk tegak, dan pernafasan biarlah betul
  • Tingkatkan konsentrasi. Pastikan suasana tenang , hindarkan sebarang gangguan yang boleh memberi kesan terhadap penumpuan belajar
  • Baca teks keseluruhan, terutama tajuk penting , pendahuluan , subtajuk , kesimpulan , soalan / latihan , gambar rajah dan carta
  • Baca keseluruhan teks dengan laju
  • Baca dengan sederhana laju dan tandakan fakta-fakta penting
  • Kenal pasti tajuk utama dan subtajuk yang hendak dimasukkan ke dalam peta minda
  • Bina peta minda

KAEDAH MEMBUAT PETA MINDA
  • Mula membuat peta minda di bahagian tengah kertas
  • Bezakan tajuk utama dan tajuk kecil dengan menggunakan warna yang terang dan berbeza supaya lebih menarik
  • Tuliskan tajuk utama di tengah-tengah kertas dan lukis gambar untuk mewakili tajuk utama tersebut. 
  • Gunakan warna yang berlainan dan menarik supaya lebih mudah mengingatinya
  • Sambungkan ranting utama ke tajuk yang berada di tengah-tengah . 
  • Kembangkannya dengan cara melebar ke tepi
  • Tulis atau lukis imej yang menggambarkan fakta di atas ranting utama tersebut . 
  • Gunakan simbol
  • Tambahkan ranting utama mengikut fakta yang hendak kamu masukkan. 
  • Gunakan warna yang berbeza untuk memudahkan kamu mengingatinya
  • Kembangkan ranting utama ke ranting kecil mengikut fakta. 
  • Jika boleh , kamu gunakan warna yang berbeza antara ranting-ranting kecil ini

NOTA ISTILAH
  • digunakan untuk menyalin istilah-istilah sukar , difinisi , atau formula di atas kad atau kertas. 
  • boleh digunakan sebagai bahan untuk mengulang kaji tanpa mengira masa dan tempat . 

KAEDAH MEMBUAT NOTA ISTILAH
  • Baca topik dengan teliti
  • Tandakan istilah , formula atau definisi-definisi yang penting
  • Catatkan istilah , formula atau definisi di atas kertas . 
  • Gunakan kertas keras dan pen berwarna untuk menjadikan nota tersebut menarik dan tahan lama
  • Nota yang dicatat hendaklah ringkas dan padat . 
  • Kamu boleh guna ringkasan perkataan atau simbol seperti yg , dgn , cth , & . (hanya dalam nota, bukan jawapan peperiksaan)
  • Lihat contoh

Subjek : PERDAGANGAN (tingkatan 4)
Tajuk : PENGELUARAN (bab 1)
1 .NILAI FAEDAH






NILAI FAEDAH :
o   BENTUK
§  menukar bentuk barangan - yang lebih berguna
§  contoh -kayu balak - jadi papan lapis
o   TEMPAT
§  menukar tempat satu barang - ke tempat berkurangan -  penuhi kehendak pengguna.
§  Contoh- kayu balak di hutan - ke kilang 
o   MASA
§  menyimpan barang - sehingga diperlukan
§  contoh - padi berlebihan semasa musim menuai -  permintaan di luar musim
o   MILIKAN
§  pertukaran milik -  kepada orang lain yang memerlukan
§  contoh -  menjual kasut  - kepada pengguna
 
NOTA GAMBAR RAJAH
  • Nota gambar rajah dapat memberikan gambaran yang menyeluruh tentang sesuatu topik yang dipelajari . 
  • Kaedah ini dapat membantu mengimbas kembali topik yang sedang diulang kaji . 
  • Gambar rajah atau carta penting , bolehlah kamu salin daripada nota , buku teks atau buku rujukan . 
  • Gunakan pen berwarna untuk menjadikan nota gambar rajah ini lebih menarik . 
  • Kamu bebas untuk memilih bentuk gambar rajah .

KAEDAH MEMBUAT NOTA GAMBAR RAJAH
  • Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar . 
  • Bacalah doa (bagi pelajar Islam) , duduk tegak , dan pernafasan biarlah betul
  • Tingkatkan konsentrasi . 
  • Pastikan suasana tenang , hindarkan sebarang gangguan yang boleh memberi kesan terhadap penumpuan belajar seperti bunyi bising
  • Baca teks keseluruhan , terutama tajuk penting , pendahuluan , subtajuk , kesimpulan , soalan/latihan , gambar rajah dan carta . 
  • Ketika mencatat nota , hubungan pelajar dengan guru perlu dijaga . 
  • Jadi , kamu harus bertanya kepada guru . 
  • Jadi , kamu harus bertanya kepada guru jika kamu tidak faham tentang sesuatu fakta .
  • Faktor ini penting untuk mengelakkan kamu mencatat nota yang tidak perlu atau tidak penting . 
  • Bertanyalah kepada guru tentang fakta-fakta penting yang perlu diberi penekanan dalam proses pembelajaran . 
  • Guru yang prihatin biasanya akan cuba memberikan seberapa banyak bahan yang boleh selain buku teks . 
  • Cuba ingat nota-nota penting dalam minda kamu kerana kesemua nota yang baik dan sempurna merupakan pasport kejayaan kamu dalam peperiksaan.

Ahad, 26 Ogos 2012

KATA MOTIVASI


Kisah Di Sebalik Kejayaan Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008.
Nik Nur Madihah Kisah pelajar cemerlang SPM Siti Fatimah Mukhtar dan Nik Nur Madihah

Ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 diumumkan seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Beliau yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

WARTAWAN: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

WARTAWAN: Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
NIK NUR MADIHAH: Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

WARTAWAN: Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
NIK NUR MADIHAH: Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini. Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

WARTAWAN: Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
NIK NUR MADIHAH: Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

WARTAWAN: Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
NIK NUR MADIHAH: Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik. Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

WARTAWAN: Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
NIK NUR MADIHAH: Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

WARTAWAN: Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

WARTAWAN: Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
NIK NUR MADIHAH: Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

WARTAWAN: Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

WARTAWAN: Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
NIK NUR MADIHAH: Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

WARTAWAN: Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
NIK NUR MADIHAH: Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.
WARTAWAN: Apakah hobi dan cita-cita saudari?
NIK NUR MADIHAH: Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

WARTAWAN: Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
NIK NUR MADIHAH: Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran.
Rumah lama Nik Nur Madihah Kisah pelajar cemerlang SPM Siti Fatimah Mukhtar dan Nik Nur Madihah

Fakta Mengenai Nik Nur Madihah.
* Dalam zaman serba canggih ini, Madihah tidak pernah keluar daripada Kelantan tetapi mengetahui tentang semua tempat disebabkan selalu melayari internet.
* Disebabkan tidak ada duit, dia hanya melayari internet di perpustakaan awam dan membaca buku atau novel kegemarannya di situ.
* Ibu bapanya mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi, walaupun susah dan kadang-kadang terlepas makan kedua ibu bapanya mengumpul duit sedikit demi sedikit untuk membeli komputer bagi mendedahkan anak-anaknya tentang IT.
* Adiknya yang ketiga merupakan pelajar tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi. Yang kedua belajar di Sekolah Menengah Teknik Bachok dan bekas pelajar MRSM Kota Putra.
* Biar pun susah bagaimana sekali pun Madihah tidak pernah meminta-minta dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa malah menjadikannya sebagai satu cabaran.
* Madihah seorang pendiam dan agak pemalu, sepanjang tempoh wawancara dibuat Madihah cuba menyembunyikan kesusahannya sehingga ada beberapa jawapan datang daripada ibu dan gurunya.
* Madihah kata keputusan percubaan SPM nya teruk, 14 A dan 5 B.
* Rumah Madihah memang sempit, hanya selesa untuk 4 orang sahaja tetapi satu yang pelik walaupun di luar sangat panas tetapi dalam rumah tidak terasa sangat walaupun bersesak dan beratap zink.
* Ada sebuah universiti tempatan menawarkan tempat untuk Madihah, bukan untuk peringkat sarjana muda tetapi PhD.
Kisah kejayaan Nur Madihah membuktikan tidak kira siapa anak nelayan, anak penoreh getah, anak petani, anak peguam, anak doktor dan anak menteri semuanya boleh berjaya. Yang penting ialah berusaha dan belajar tanpa mengenal erti jemu untuk berjaya.

Tips-tips Kecemerlangan Daripada Nik Nur Madihah.
Beliau menggariskan beberapa tips yang diamalkannya yang banyak membantu beliau menghadapi 20 subjek yang diambilnya. Antara yang sempat disenaraikan oleh beliau adalah seperti berikut:
# Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa di dalam kelas. Para pelajar diingatkan supaya memberikan tumpuan dan tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal, bersembang dan bermain-main di dalam kelas.
# Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang masih boleh diganti tetapi yang terbuang tidak akan dapat digantikan lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah sebenarnya pencuri masa.
# Suka bertanya. Sikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik dan sains.

Di antara slogan-slogan yang menjadi pegangan beliau adalah:
! 99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.
! Belajar dari kesilapan.
! Usaha yang terbaik dan bertawakkal – Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong.
! Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa.
! Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.
kredit: wowberita
sumber: Greenboc

Bapa yakin Madihah tidak mudah terpengaruh.
Ibu dan bapa Madihah Kisah pelajar cemerlang SPM Siti Fatimah Mukhtar dan Nik Nur Madihah
Nik Mohd. Kamal Husin bersama isterinya, Mariani Omar ketika ditemui di kediaman mereka di Kota Bahru, semalam.
KOTA BHARU 4 Jan. – Ayah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yakin anaknya tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya Barat apabila melanjutkan pelajaran ke United Kingdom Ogos nanti.
Nik Mohd. Kamal Husin, 43, berkata, beliau percaya pegangan agama yang kukuh dan hubungan erat dalam keluarga akan menjadi bekalan penting untuk Nik Nur Madihah menjalani kehidupan di negara orang.
Menurutnya, anak sulungnya itu yang kini mengikuti pengajian tahun akhir A Level dalam bidang Fizik Tulen di Kolej Tuanku Jaafar, Mantin, Negeri Sembilan sentiasa melakukan solat istikharah sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan hidupnya.
Katanya, Nik Nur Madihah masih mengekalkan identitinya memakai tudung labuh dan berjubah sekalipun dalam suasana pelajar pelbagai kaum.
“Walaupun dia masih belajar dalam negara tetapi suasana di tempat pengajiannya itu sudah mirip kepada keadaan di negara Barat.
“Lebih ramai pelajar bukan Melayu yang berada di sana dan Madihah diejek sebagai ‘budak pakai khemah’ tetapi itu bukan masalah bagi anak saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kurnia Jaya di sini, hari ini.
Menurut Nik Mohd Kamal, anaknya yang menerima pembiayaan biasiswa Bank Negara sudah menerima surat tawaran daripada beberapa universiti terkemuka di UK namun belum lagi membuat keputusan.
Jelasnya, walaupun dia hanya seorang nelayan dan isterinya, Mariani Omar, 44, suri rumah, namun mereka sentiasa berhubung dengan Nik Nur Madihah melalui kemudahan Internet dan telefon.
Katanya, kejayaan Nik Nur Madihah memperoleh 20 A dalam SPM 2008 telah mendorong tiga adiknya untuk lebih tekun belajar.
Jelasnya, dua daripadanya sedang mengikuti pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia manakala anak bongsunya di tingkatan dua Sekolah Menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi. Utusan

KAEDAH BELAJAR NIK NUR MADIHAH PATUT JADI TELADAN

SAMA ada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal atau Mohamad Aizuddin Mohd Yaakub, mahupun pasangan kembar Rohamina-Rohaisha Jamil, masing-masing nampaknya menggunakan resipi serupa iaitu dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum dan sesudah mengulang kaji pelajaran sehingga akhirnya muncul pelajar cemerlang terbilang.

Pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah muncul pelajar cemerlang peringkat nasional apabila memperoleh 20A termasuk 1A2, mengatasi rekod cemerlang Siti Fatimah Mokhtar yang mendapat 18A termasuk 1A2 pada 2006, dari sekolah yang sama, Maahad Muhamadi (Perempuan) di Kota Bharu, Kelantan.

Mohamad Aizuddin pula memperoleh 1A dalam semua 13 subjek yang diambilnya dan antara pelajar terbaik SPM 2008 Negeri Sembilan. Pasangan kembar Jamil yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban mendapat 11 1A merangkumi subjek sains , matematik dan sains sosial.

Lain halnya dengan Zamri Amir yang juga mendapat 11 1A dan muncul antara pelajar terbaik Sekolah Alam Shah Putrajaya. Walaupun berasal daripada keluarga susah seperti keluarga Nik Nur Madihah, pengurusan masa yang cekap dan seimbang menjadi faktor penting di sebalik kecemerlangannya itu, lantaran dia juga aktif dalam Pasukan Orkestra SSAS. Allah SWT berfirman dalam Surah Surah at-Tiin (Ayat 4-6): Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
"Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia kepada serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus".
Persis kata Nik Nur Madihah, anak jati kampung nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak itu: "Saya mengulang kaji awal pagi tiap-tiap hari selepas solat tahajud dan sesudah membaca al-Quran".
Kembar, Rohamina dan Rohaisha berkata: "Kami selalu membaca al-Quran, selain kerap melakukan solat hajat agar dipermudah kami mengikuti pelajaran dan mendapat kejacemerlang." Bagi Mohammad Aizuddin, pendekatan diri kepada Allah SWT penting sebab mengingati-Nya dengan melakukan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya menjadikan jiwa sentiasa tenang dan mudah memahami pelajaran.
Pelajar cemerlang SPM 2008 itu adalah pilihan Allah SWT daripada 6,277 calon cemerlang lain, menepati maksud Surah ar-Ra'd (Ayat 26): "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain daripada kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan hari akhirat." Sebagai manusia pilihan dengan sebaik-baik kejadian bersama penganugerahan akal yang pintar, mereka tidak pernah melupai Allah SWT dengan melakukan suruhan ibadat-Nya demi tuntutan ukhrawi dan duniawi.
Otak mereka sama juga seperti binaan otak pelajar, malah manusia lain, seumpama dua hemisfera. Satu sebelah kanan sementara yang satu lagi kiri.
Kedua-duanya berkongsi pemikiran dan kawalan tubuh badan. Bagi kebanyakan orang, hemisfera otak kanan lebih kreatif manakala sebelah kiri lebih kepada logik.
Yang lebih kreatif melahirkan insan berfikiran sains sosial sementara yang lebih logik berfikir secara saintifik dan matematik.
Otak pelajar cemerlang itu nampaknya seimbang hemisfera kanan dan kiri yang bergabung dan melahirkan kepintaran subjek sains sosial serta sains tulen.
Manusia dianugerahi akal untuk berusaha dan berfikir mengejar kejayaan duniawi dan ukhrawi seperti janji Ilahi asalkan kita sentiasa mengingati dan mendekati-Nya. Resipi mereka sepatutnya jadi ikutan calon SPM tahun ini untuk meraih kecemerlangan lebih terbilang.

35 Petua Pelajar Cemerlang


Oleh : Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah
boystudy
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    • kita ingat 10 % apayang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

    …Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….

  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

Panduan menjelang peperiksaan

Gunakan saat-saat hampir menjelang peperiksaan untuk membuat persediaan terakhir seperti:

  1. Sentiasa meminta bantuan guru bagi memperkukuhkan pemahaman dan penglihatan anda mengenai sesuatu perkara yang tidak difahami.
  2. Minta pendapat guru tentang soalan-soalan ramalan yang mungkin timbul secara am.
  3. Menyenaraikan perkara-perkara yang mungkin perlu anda beri tumpuan mengikut keutamaan dan cuba memahaminya dengan lebih jelas lagi.
  4. Dapatkan soalan-soalan lepas daripada senior dan kemudian kaji serta cuba jawab soalan yang belum dapat dijawab dengan baik.
  5. Buat perbincangan bersama rakan-rakan bagi menangani masalah yang belum dapat diselesaikan dan dapatkan pertolongan mereka jika anda belum bersedia.
  6. Semak jadual peperiksaan dan buat satu jadual terakhir untuk mengulangkaji secara ringkas dan padat.
  7. Rujuk kembali nota-nota ringkas, gambarajah-gambarajah penting dan ingat fakta-fakta utama.
  8. Dapatkan tidur dan rehat yang cukup serta makan makanan yang seimbang.
  9. Sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya yang tidak berbelah bagi kepada persediaan menghadapi perperiksaan anda.
Belajar perlulah dengan kerelaan hati tetapi bukan kerana terpaksa. Belajar kerana terpaksa tidak dapat membantu anda belajar dengan sempurna dan boleh membuatkan anda gugup dalam peperiksaan nanti. Yakin akan kebolehan diri. Tanamkan dalam diri “saya boleh” dan tulis dengan besar dan terang di atas sekeping kad dan letak di hadapan anda (tempat anda belajar).

Teknik Belajar Nur Amalina

Mengingati Pelajaran

"Saya tidak memaksa diri saya mengingati sesuatu fakta dalam setiap mata pelajaran. Saya menjadikan belajar itu suatu aktiviti yang menyeronokkan. Sebab itu saya tidak berasa letih walaupun menghabiskan masa yang panjang untuk mengulangkaji."

Bagaimana Menguasai Kesemua 17 Mata Pelajaran?

"Daripada sepuluh mata pelajaran saya belajar di sekolah dan kelas tambahan di luar bagi subjek tertentu, hanya satu mata pelajaran, iaitu Prinsip Akaun, saya pergi tuisyen kerana perlu memahami konsepnya. Yang lain saya belajar sendiri di rumah. Jika saya tidak faham saya akan berjumpa guru yang boleh membimbing subjek berkenaan."

Tip Mengingati Formula & Fakta
  • Buat nota ringkas
  • Lukis peta minda apabila mengulangkaji atau mempelajari tajuk bar
  • Wujudkan kata kunci.
  • Buat banyak latihan berhubung sesuatu formula hingga terbiasa.
  • Banyak latih tubi membuatkan lama-kelamaan mudah untuk mengingati.
  • Ulangkaji di rumah secara berterusan
Tip Menguat Ingatan
  • Tumpu perhatian penuh di dalam kelas.
  • Berfikiran positif.
  • Fikir perkara berfaedah sahaja.
  • Elak berfikir perkara yang memesongkan dan merosakkan minda.
  • Elak makan makanan yang mengandungi banyak bahan kimia seperti makanan ringan dan makanan
    segera.
  • Jangan minum minuman bergas.
Menghafal atau Memahami
"Ramai orang yang silap anggap. Saya tidak pernah menghafal mata pelajaran membabi buta. Waktu mengulangkaji saya fahamkan sesuatu konsep itu terlebih dahulu. Faham lebih penting. "Saya memahami konsep dan idea sesuatu topik itu. Apabila telah faham mudahlah untuk ingat. Hafal tanpa faham seolah-olah kita belum mendapat apa-apa ilmu."
Langkah Mengulangkaji
  • Saya menyemak sekali lalu bab yang saya hendak ulangkaji.
  • Saya membaca tajuk besar terlebih dahulu.
  • Kemudian saya membaca tajuk-tajuk kecil
  • Lepas itu saya meneliti dan cuba memahami gambar, gambarajah, ilustrasi dan jadual yang tertera di dalam bab tersebut.
  • Apabila telah mendapat gambaran tentang sesuatu tajuk itu barulah saya meneliti isinya secara detail
  • Saya tandakan isi-isi penting dengan highlighter di buku teks atau saya buat peta minda dalam buku nota khas.
  • Saya cari atau saya reka sendiri kata kunci.
  • Pada masa yang sama saya mengingat.
  • Saya mencipta kaedah saya sendiri untuk mengingati sesuatu yang sukar dan kompleks.
  • Ulangkaji awal, jangan tunggu hingga saat terakhir sebelum peperiksaan.
Kaedah Memahami
  • Fahami sesuatu konsep itu secara menyeluruh terlebih dahulu.
  • Setelah faham barulah mudah mengingat data dan menghafal.
  • Menghafal membuta tuli belum tentu dapat atau faham.
  • Gambarkan apa yang dibaca di dalam minda.
  • Minda kita hendaklah sentiasa bersedia menerima perkara baru yang dipelajari.
Study Hard atau Study Smart?
Study hard ialah menggunakan masa yang lama dengan susah payah untuk memahami sesuatu topik. Study smart pula ialah memahami sesuatu topik dengan pantas dan selebihnya menggunakan minda untuk memberi hujah dan penjelasan. Study hard dan study smart sama penting. Kalau boleh kita hendaklah study hard dan study smart! 'Dan' bukan 'atau'.Jangan belajar last minute. Belajar last minute akan menyebabkan anda terpaksa study hard dalam ertikata yang lain. Kalau anda belajar dan mengulangkaji awal, anda mempunyai masa yang panjang dan selesa untuk study smart. Bagaimanapun korbankan banyak masa jika anda mahu cemerlang. Minta bantuan guru apa-apa yang tidak difahami.
Tetapkan Teknik Belajar
"Belajarlah mengikut kaedah yang anda rasa berkesan. Anda sendiri akan merasa kesannya apabila berjaya menjawab soalan di dalam peperiksaan dengan senang dan mendapat keputusan yang cemerlang
Peranan Soalan Ramalan dan Soalan Tahun-tahun Lepas
" Soalan Ramalan selalunya dihasilkan setelah pembuat soalan menjalankan analisis yang teliti tentang pattern dan kekerapan sesuatu topik itu keluar. Soalan ramalan juga mendedahkan topik-topik penting. Menjawab soalan ramalan adalah suatu latihan bermanfaat. Cuma pelajar jangan mengharap 100% kepadanya.""Soalan tahun-tahun lepas adalah himpunan kertas peperiksaan sebenar. Ini mendedahkan pola sebenar peperiksaan. Dari soalan tahun-tahun lepaslah terbentuknya soalan ramalan."
Pentingnya STUDY GROUP
" Di sekolah, saya ada study group sendiri. Kami semuanya gigih belajar, mengulangkaji dan berbincang. Apabila guru tidak mengajar kami akan berbincang di dalam kelas. Pada masa-masa lapang yang lain kami akan berbincang di kantin, di taman atau di pusat sumber." Kumpulan belajar mencetuskan pertukaran pendapat dan perbincangan yang mantap. Perbincangan menghasilkan pemahaman yang mendalam. Kami bergilir-gilir mengepalai perbincangan sesuatu topik." Di dalam sesi study group kita hendaklah segera bertanya apa yang tidak difahami. Kita juga harus mengakui kelebihan orang lain." Suatu perkara yang kami sentiada pegang ialah: Tidak lari dari topik perbincangan dan tidak terlalu banyak bermain dan ketawa. Ini dilakukan dengan menetapkan sesuatu objektif yang hendak dicapai di dalam jangka masa yang ditetapkan."
Peranan Nota
  • Paling banyak membantu pembelajaran, jadi beri keutamaan.
  • Mengelakkan membaca buku teks yang tebal.Mengukuh kefahaman.
  • Pembelajaran yang cepat dan tangkas kerana dibuat dengan mengambil isi-isi penting sahaja.
  • Membantu ulangkaji seimbas lalu menjelang peperiksaan.Mudah menghubungkaitkan sesuatu topik atau peristiwa dengan yang lain.
  • Ketika menyediakan nota, bina kata kunci dan hafal kata kunci tersebut supaya mudah dihubungkaitkan dengan fakta yang lain.
  • Recall kata kunci dari nota ketika membuat esei atau menjawab soalan peperiksaan.
Peranan Peta Minda
" Peta minda ialah sejenis nota yang paling berkesan. Bina peta minda mengikut teknik yang diajarkan pada anda supaya berkesan. Selalunya peta minda dibina ketika anda belajar atau mengulangkaji untuk memahami urutan, proses dan peristiwa."" Membina peta minda akan mengelakkan anda dari mengantuk. Gunakan warna atau dakwat yang berlainan untuk menarik perhatian ketika belajar. Ini akan merangsang otak kanan untuk mengimbangi tugas otak kiri yang letih mengingat."" Ketika mengulangkaji pula, peta minda mempercepatkan proses mengulangkaji dengan berkesan kerana sifatnya yang ringkas, padat dan mengikut turutan atau aliran. Banyakkanlah menggunakan peta minda menjelang peperiksaan.

Teknik Ingat Nota - menconteng buku

Kita tahu bahawa membaca adalah penting untuk menambahkan ilmu kita kan?
Tetapi, ada juga yang membaca tetapi, tidak berjaya mengaplikasikan apa yang di baca. Mungkin kerana terlupa atau tidak menggunakan teknik yang betul dalam menambahkan pemahaman ketika membaca.
Satu tip mudah apabila membaca buku, ambil pen dan conteng pada buku tersebut ;)
  • Garis perkataan atau nota yang penting
  • Letak bintang di bahagian margin sekiranya terdapat sesuatu yang anda ingin laksanakan
  • Tulis di bahagian margin nota-nota anda sendiri dan bagaimana anda boleh aplikasikan apa yang di ajar
Dengan menconteng- garis, letak bintang dan menulis nota, kita akan dapaat menggandakan pemahaman kita pada apa yang di baca. Sejurus selepas habis memabaca buku tersebut, go through another round dan fokus pada contengan-contengan anda. Aksi melakukan ini kali kedua akan menggandakan ilmu dan pemahaman kita.
conteng.jpg
Contoh salah satu buku yang kena conteng… semua page lebih kurang camni ;)
Tambahan: Dato’ Dr Fadzilah Kamsah juga pernah Bercerita, beliau juga “berinteraksi” dengan buku yang dibaca dengan menulis pada buku itu sama ada bersetuju… atau tidak setuju…  atau sama ada pembaikan yang boleh ditambahkan pada buku yang di baca.
Sayang pada buku sebab taknak kena conteng?
Haa… patut kita sayang pada buku, atau sayang pada ilmu yang kita terlupa?

Teknik Belajar Berkesan

1. Instill (kesedaran dalam diri kita sendiri)
- sematkan semangat dan terus belajar.


2. Bijak menguruskan masa dan mendisiplinkan diri
- membuat jadual belajar-pastikan ikut jadual dan biasakan diri dengan situasi tersebut.
- ada masa untuk bermain (sport), belajar dan tidur.
- pilih masa yang sesuai untuk belajar.



3. Cara belajar dalam kelas
- dengar dan fahamkan apa yang diajar oleh guru.
- buat catatan yang ringkas yang mudah difahami tentang apa yang telah dipelajari.
- jangan malu untuk bertanya.


4. Cara untuk mengulangkaji di rumah/hostel
- pilih masa yang sesuai untuk buat kerja rumah dan ulangkaji.
- tumpukan sepenuh perhatian tentang papa yang dibaca.
- buat nota ringkas.


5. Belajar berkumpulan
- pilih kawan diskusi dalam lingkungan 3 hingga 5 orang.
- setiap ahli kumpulan mesti main peranan.
- lantik ketua dan buat etika kumpulan.
- main cikgu-cikgu.


6. Jadikan sesuatu sebagai sumber inspirasi
- mengenang kembali kesusahan ibu-bapa.
- mengambil contoh orang-orang yang telah berjaya.


7. Membuat target
- sematkan dalam diri untuk mencapai target yang itnggi.
- target jangka pendek dan jangka panjang.


8. Ikhlas dan minat dalam semua mata pelajaran.
- jangan pilih kasih.
- jangan kedekut ilmu, bincang dengan kawan.
- kalau tak minat sesuatu subjek, cuba cari kelemahan dan sesuatu yang menarik tentang subjek itu dan cuba atasi kelemahan tersebut.


9. Memilih keberkatan ilmu
- guna waktu dan kesempatan untuk perkara penting-tinggalkan perkara yang remeh-temeh.
- sebelum belajar, pastikan sedah mengulangkaji bab yang telah diajar sebelum itu.
- semasa guru mengajar, jangan buat bisisng.
- hormat terhadap buku pelajaran.


10. Adab belajar terhadap guru
- rendah diri, jangan riak dan sombong.
- bersungguh dalam belajar.
- jika tidak faham, terus rujuk kepada guru.


11. Banyak berdoa kepada Allah s.w.t.


USAHA + DOA + TAWAKKAL = KEJAYAAN.

Tips mudah mengingat ketika belajar



Assalamualaikum. Entry saya untuk kali ini ialah perkongsian tips-tips belajar kepada adik-adik yang masih belajar terutamanya kepada adik-adik yang belajar di luar negara.
Melanjutkan pelajaran di luar negara memanglah menjadi idaman setiap pelajar, tak kiralah pelajar-pelajar sekolah menengah mahupun dikalangan adik-adik yang masih di bangku sekolah rendah. Berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara tidaklah bermaksud susah payah kita telah terbayar, malah sebenarnya ini bermaksud ada susah payah yang lebih besar bakal menanti kita dihadapan. Tidaklah saya bermaksud belajar didalam negara tidak susah, tapi dugaan dan cabaran belajar di luar negara ini perlukan kepada lebih kesungguhan dan konsistensi yang berpanjangan untuk berjaya.
Ingin saya kongsikan disini semoga menjadi panduan kepada adik-adik yang masih belajar di luar negara, ialah beberapa tips untuk mudah mengingat apa yang kita belajar. Seringkali kita bertanya kepada diri, “Kenapa apa yang aku baca ni susah nak ingat?” “Kenapa apa yang dulu dah baca, tapi bila dah dekat-dekat nak exam ni dah lupa dah?” “Urghhh, semalam dah baca, hari ni dah lupa dah!”, dan banyak lagi soalan-soalan yang timbul yang membuatkan kita “frust”.
Saya sangat memahami, belajar di luar negara ini memang susah.  Lecture dalam bahasa asing, buku-buku rujukan yang ada pun dalam bahasa asing, tutorial dalam bahasa asing, soalan pepriksaan dalam bahasa asing, juga rakan-rakan sekelas adalah rakyat-rakyat asing. Tidaklah saya nafikan ada dikalangan kita yang mahir dan fasih berbahasa asing: Bahasa Inggeris, namun saya yakin majoriti daripada kita hanya pada tahap “cukup makan” sekadar melepasi par sahaja. Oleh itu, perlulah ada pendekatan ataupun tips yang boleh kita applikasi dalam teknik pembelajaran kita untuk mencapai kejayaan yang kita idam-idamkan.
Antara tips-tips yang boleh digunapakai ialah:
  • Mula untuk belajar awal.
Kebanyakkan daripada kita hanya tunggu apabila dekat dengan exam barulah kita nak mula belajar atau ulangkaji. Kenapa tidak mahu mula awal-awal lagi, seawal bermulanya semester? Saya yakin banyak yang perlu dibaca dan diulangkaji, oleh itu masa yang diperlukan untuk menghadam dan mengingati satu-persatu isi-isi penting juga panjang dan lama. Masa yang singkat beberapa minggu sebelum exam bukanlah masa yang ideal untuk mengingat ilmu-ilmu baru, pada tahapan stress yang kemuncak ditambah lagi beberapa assignments yang akan due, tidak mustahil tetapi adalah sangat susah untuk mengingat ilmu-ilmu baru pada masa ini. Masa ini adalah masa yang sebenarnya sesuai untuk mengulangkaji ilmu-ilmu yang sememangnya anda sudah hafal atau tahu.
Mulalah belajar daripada sekarang. Jangan ditunggu sehingga last minute, baru kita nak mula belajar. Biarpun sedikit demi sedikit atau semuka-surat kita belajar setiap hari daripada sekarang, nanti lama-lama jadi bukit, daripada kita memerah otak kita untuk mengingat sebuah buku seminggu sebelum tarikhexam.
  • Mengulangkaji sedikit-sedikit.
Daya mengingat manusia adalah terhad. Otak manusia tidak mampu untuk memproses dan mengingat banyak maklumat yang datang kepadanya dengan sekaligus pada satu masa. Ia perlukan masa untuk memproses dan juga untuk mengingat.
Cubalah untuk fokus kepada beberapa topik-topik kecil ketika mengulangkaji. Buatlah satu jadual belajar. Cubalah untuk habiskan ulangkaji hanya pada beberapa topik kecil setiap hari. Contohnya: Isnin – Pneumonia, Selasa – COPD, Rabu – Asthma, Khamis – Pulmonary Embolism, Jumaat – Pneumothorax dan sebagainya, daripada terus untuk cuba menghabiskan satu bab Diseases of the Respiratory System sekaligus dalam masa sehari kemudian bertukar kepadasystem yang lain hari berikutnya. Dengan cara begini lebih mudah untuk kita memahami dan menghafal isi-isi penting berkaitan setiap topik-topik yang dibaca.
  • Cuba untuk faham, bukan hanya sekadar hafal.
Kajian telah menunjukkan bahawa apabila kita faham sesuatu perkara atau mekanisma, ianya akan lebih lama kita ingati daripada hanya menghafalnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kita membaca bagaimana sistemcardiovascular berfungsi, bermula daripada jantung melalui saluran darah i.e. aorta –> arteries –> arterioles –> capillaries –> veins –> vena cava, kemudian kembali ke jantung, lebih mudah untuk kita lukiskan diatas kertas gambar jantung dan saluran-saluran darah tersebut, kemudian kita cuba fahami dengan membayangkan seolah-olah kita adalah sel-sel darah yang melalui saluran-saluran darah tersebut. Dengan ini lebih membuatkan kita faham bagaimana sistem itu berfungsi dan insyAllah ianya akan lebih lama “melekat” dalam memori kita.
  • Belajar menggunakan pelbagai deria.
Apabila anda membaca, kebiasaannya anda hanya membaca (menggunakan deria penglihatan sahaja). Ada satu kajian yang saya baca, yang mengatakan bahawa memori kita akan lebih terangsang untuk mengingati sesuatu ilmu tatkala deria-deria kita terangsang. Lebih banyak yang terangsang, katanya, lebih baik. Sebagai contoh, membaca (melihat) sambil menulis nota (rasa dengan jari), lebih baik daripada hanya membaca. Ataupun, membaca sambil membuat nota, dan sambil mendengar musik, mengikut kepada artikel yang dibaca tersebut, adalah lebih baik. Tetapi janganlah kita mendengar kepada musik-musik yang bersuara atau berlirik, ianya akan mengganggu fokus kita, tetapi dengarlah kepada musik-musik instrumental atau bacaan ayat-ayat al Quran yang menenangkan hati dan fikiran kita, dan tidak menghilangkan fokus kita kepada apa yang sedang kita belajar. Saya yakin, teknik ini mungkin tidak berkesan kepada semua, tapi insyaAllah kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk mudah mengingat, bolehlah mencuba teknik ini sama ada sesuai dengan anda ataupun tidak.
  • Menggunakan imej-imej sebagai bantuan.
Memori manusia lebih mudah mengingat imej daripada perkataan ataupun fakta-fakta. Sebagai contoh, lebih mudah untuk kita ingat apabila kita melihat gambar seekor kucing putih berbelang kuning, ekor kembang berwarna kuning sepanjang lebih kurang 15 cm, bermata hijau, berbulu panjang, telinganya tinggi dan lain-lain daripada dengan saya bercerita kepada anda sifat kucing tersebut ataupun dengan anda membaca tulisan saya di sini berkaitan kucing tersebut.
Ini bukan hanya mudah terutamanya untuk mengingati fakta, tapi juga tidak mustahil ianya boleh digunakan untuk mengingati sesuatu mekanisma perbuatan atau gerak kerja sistem. Saya dahulunya gunakan teknik ini ketika belajar untuk mengingat fakta-fakta anatomy tubuh badan manusia. Anatomy tubuh manusia sememangnya sangat kompleks ditambah lagi dengan nama-nama setiap organ dan tisu-tisu dalam badan manusia ini dinamakan dalam bahasa latin, ini membuatkannya lebih susah untuk dihafal. Saya selalunya akan lukiskan kembali bahagian tubuh yang saya cuba untuk hafal tersebut dalam rajah skema yang sangat ringkas diatas kertas A4, kemudian saya akan cuba untuk mengimbas kembali buku anatomy saya berserta gambar rajah skema saya di sebelah. Bila saya membaca teks buku anatomy tersebut, kali ini saya cuba untuk gambarkan rajah skema tersebut dalam minda saya, sambil baca sambil buat connection kepada rajah skema tersebut (dalam kepala), dan alhamdulillah ianya lebih mudah melekat dalam memori saya daripada hanya membaca teks buku sahaja.
  • Tidak mengulangkaji pelajaran atau membaca ilmu baru ketika dalam kepenatan.
Badan manusia ada kapasitinya, ada limitnya. Badan kita berfungsi dengan baik sekira ianya tidak didalam state kepenatan atau exaustion. Begitu juga dengan otak kita untuk memfokus kepada apa yang kita baca atau lakukan. Pastikan anda mendapat cukup rehat sebelum anda memulakan ulangkaji. Ulangkaji dalam keadaan badan keletihan dan kepenatan hanyalah membuang masa anda. Sekiranya anda rasa badan anda penat dan susah untuk anda memfokus kepada teks-teks yang anda baca, eloklah sekiranya anda tidur sejenak, kemudian bangun semula untuk menyambung ulangkaji, daripada anda meneruskan juga ulangkaji tanpa sedikitpun yang dapat anda ingat dalam memori anda.
Faktor pemakanan juga memainkan peranan penting kepada kesihatan tubuh badan dan keupayaan untuk mengingat. Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat. Cuba elakkan makanan ruji dan makanan-makanan yang tidak sihat. Cuba juga untuk kurangkan mengambil minuman-minuman bertenaga i.e. Red Bull, Livita, V, Mother, Monster dan sebagainya. Minuman-minuman ini mengandungi banyak caffeine. Terlalu banyak atau terlalu kerap mengambilnya, akan merosakkan badan anda. Tabiaat mengambil kopi yang terlalu pekat dan kuat untuk stay-up malam untuk belajar juga sekiranya boleh, cubalah untuk elakkan.
  • Manfaatkan masa yang ada sebaiknya.
Antara sebab kenapa kadang-kalanya kita tidak dapat mengingati ilmu-ilmu yang telah kita pelajari ialah kurangnya masa yang kita peruntukkan untuk mengulangkaji pelajaran dan kita tidak memanfaatkan masa yang kita ada dengan sebaikya. Kita banyak menghabiskan masa-masa lapang kita dengan membuat perkara-perkara yang merugikan dan tidak bermanfaat kepada diri kita. Kita mampu menghabiskan tiga atau empat jam dengan bermain komputer games atau melayari kartun-kartun anime di komputer, tetapi kita merasa malas untuk belajar atau mengulangkaji pelajaran. Kita menghabiskan sepanjang hari dengan bermain play station atau Dota di komputer, tetapi jarang kita habiskan masa seharian kita untuk kita ulangkaji pelajaran yang telah kita pelajari di universiti pada hari tersebut. Kita hanya akan tunggu untuk membuat ulangkaji apabila hanya tinggal beberapa minggu atau hari sahaja lagi sebelum exam bermula.
Masa itu adalah kehidupan. Sekiranya kita membazir masa kita, seolah-olah kita membazirkan kehidupan kita. Saya amat mengkagumi diari kehidupan seorang president atau perdana menteri, mereka boleh mencapai beberapa perkara dan boleh berada di beberapa tempat dalam sehari. Sekiranya mereka mampu untuk memanfaatkan masa mereka untuk mencapai beberapa matlamat dalam sehari, kita juga mampu. Kita juga ada 24 jam sehari, sama seperti mereka.
  • Ikhlaskan niat dan perbanyakkan amalan kepada Allah.
Saya amat mengkagumi mereka yang mampu menghafal sebuah al Quran. Menghafal al Quran bukannya mudah. Menghafal al Quran adalah menghafal perkataan demi perkataan tanpa salah atau silap sedikitpun. Tidak sama seperti kita menghafal buku-buku rujukan sains, kita hanya mengambil intipatinya sahaja, tidaklah kita menghafal perkataan satu per satu.
Ilmu ini juga milik Allah. Allah yang layak umtuk memberi ilmu ini kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan. Ikhlaskan niat kita untuk kita gunakan ilmu ini kepada kebaikkan, insyaAllah Allah akan membantu kita untuk mudah kita mengingat.
Para hafiz al Quran, antara tips yang memudahkan mereka menghafal al Quran ialah dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat seharian. Amalan-amalan sunat ini adalah pembersih hati. Kata Imam Syafie, “Ilmu ini umpama cahaya. Cahaya susah untuk memasuki hati-hati yang dipenuhi oleh titik-titik hitam (iaitu dosa)”. Elaklah daripada melakukan dosa kepada Allah, ini termasuklah dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa kecil inilah yang kelak memenuhi hati-hati kita, dan menyukarkan kita untuk mengingat ilmu-ilmu yang kita baca.
  • Nota ringkas atau mind-map.
Nota ringkas atau mind-map sangat berguna terutamanya ketika untuk beberapa hari sebelum kita menghadapi peperiksaan. Kalau kita sempat, semasa kita mengulangkaji pelajaran, cubalah untuk membuat nota seringkas yang mungkin untuk jadi rujukan kita kemudian sebelum peperiksaan nanti. Nota-nota ringkas in hanya sebagai recap sahaja kepada apa yang kita dah baca dan faham sebelum ini. Hari-hari sebelum exam bukanlah masa untuk kita baca ilmu baru, atau buka semula buku rujukan yang telah kita baca dahulu, tetapi hanya sekadar masa untuk kita recap intipati-intipati yang telah ada dalam memori kita.
  • Perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam belajar, dan bersabar.
Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar, merasai keperitan untuk memperoleh ilmu-ilmu ini, kita sebenarnya akan lebih menghargai apa yang kita dapat dan selalunya akan lebih mudah untuk kita ingat apa yang kita belajar. Kesusahan itu sesungguhnya mengajar. Imam Bukhari, seorang yang terkenal dengan kebolehan menghafal ratusan ribu hadis-hadis sahih, telah melalui fasa pembelajaran begini. Beliau terpaksa mengharungi padang pasir yang panas beribu-ribu batu untuk hanya sekadar memperolehi satu hadis. Atas kesungguhkan dan susah payah beginilah, akhirnya beliau mampu untuk mengingat ratusan ribu hadis-hadis sahih didalam memorinya. Saya yakin, kita juga mampu.
Tidak ada manusia diatas dunia ini yang lahirnya genius. Manusia bijak pandai dan berjaya adalah lahir daripada susah payah dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi sebelum menempa kejayaan. Kejayaan tidak datang tanpa titik peluh. Titik peluh itulah sebenarnya adalah azimat-azimat kejayaan.

Isnin, 23 Julai 2012

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran

Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?


Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

07.Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]