Pada waktu siangnya umat Islam diwajibkan berpuasa, manakala malamnya disunatkan ‘Qiamullail’ iaitu
‘memakmur dan menghidupkan malam dengan ibadat’.
Qiamullail dituntut dan dijanjikan dengan pelbagai kelebihan. Antaranya sabda Baginda SAW:
“Sesiapa
yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan
mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesiapa beribadat sesaat
pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu
kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun
penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi,
sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah
lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang
lain.“
.
Malam al-Qadar (Lailatul Qadar)
Salah satu kelebihan yang Allah SWT berikan untuk umat Islam dalam
bulan Ramadhan ialah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali
dengan nama
‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan
‘Lailatul Tajalli’
yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada
orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.
.
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman:
“Sesungguhnya
Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan
sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3:
“Sesungguhnya
Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah
Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu
bulan.”
Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut
digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah
SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai
nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang
kepada umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir
Ramadhan al-Mubarak.
.
Malam itu
Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan
kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh
keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama
turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.
.
Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita tidak
berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus
kesilapan seumur hidup kita yang lalu.
Firman Allah S.W.T:
“Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Al-Dukhan : 4)
Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam tersebut
Allah menentukan takdir
setiap makhluk baik berupa rezeki, umur, sakit atau sihatnya seseorang
dan ajal manusia untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar
tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun hadapan.
.
Amalan Pada Malam Lailatul Qadar
Menggandakan amalan sunat pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi
mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti
beriktikaf di masjid dan sebagainya.
- Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan Qiamullail.
- Habiskan malam beramal ibadat di masjid (beriktikaf).
- Solat Qiamulail sebanyak mungkin.
- Solat Tarawih 20 rakaat, tanpa witir.
- Bermula 12 malam, Solat Tahajud 8 rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.
.
.
Itikaf Lailatul Qadar
Itikaf ini dikenali juga sebagai
‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Seseorang
yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam
matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat iktikaf ialah selepas
terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf menjadi
sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada
10 terakhir Ramadhan.
.
Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga
serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan
pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘
taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid”. (Al-Baqarah: 187)
.
Daripada Aishah r.a telah berkata :
“Bahawa Rasulullah
SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam
(Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan
ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam
beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)
Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari
Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri
baginda.. ( muttafaqun alaih)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata :
“Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda”. ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).
.
.
Amalan Rasulullah SAW Di Malam Lailatul Qadar
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa
yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan
pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan
semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).
.
Antara amalan yang dilakukan Rasululah SAW dan para sahabat pada malam-malam terakhir Ramadhan ialah:
- Mandi, berpakaian cantik dan berwangi-wangian.
- Beriktikaf iaitu mendampingi masjid untuk mentaati Allah.
- Mengejutkan keluarga agar bangun beribadah.
- Uzlah (tidak mendekati) isteri.
- Memperbanyakkan amal ibadat dan berqiamulail di masjid atau surau.
- Menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
- Memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir, istighfar dan bersalawat.
- Membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah.
- Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud, Taubat dan solat Hajat.
- Bertaubat daripada segala kesalahan dan dosa selama ini.
- Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda SAW sering membaca doa:
“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan
juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api
neraka yang pedih.”
- Berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang
solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka
dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.” Hadis Riwayat Abu Daud.
.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada
sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri
baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan
selepas baginda wafat.
.
.
Doa Qiamullail
Rasulullah SAW sering membaca doa di bawah sebelum Baginda melakukan Qiamullail;
Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar
Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah;
.
- Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
- Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
- Solat Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
- Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
- Membaca Al-Quran.
- Beristighfar dan berzikir

.
.
7. Bertasbih dan berselawat

.
.
8. Bersolat Sunat.
- Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan.
- Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
- Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
- Solat Sunat Witir. – Solat Penutup
.
.
BERDOA
a. Saat Makbul Doa
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada
Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar
adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan
doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah.
Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
- Masa berlalunya separuh malam.
- Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.
Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata:
“Berdoa
pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah
apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya
kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”
.
b. Doa Bertemu Lailatul Qadar
Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya
kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera
kita membaca:

.
Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:
.
اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.
“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
.
.
c. Doa Di Malam Al-Qadar
Ini adalah salah satu doa di malam-malam Al-Qadar: malam ke 19, 21, dan ke 23 Ramadhan.
بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
اللهم صل على محمد وآل محمد
Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad
Ya Allah! Sampaikan selawat kepada Rasulullah SAW dan keluarganya
اَللَّهُمَّ اِنِّي اَمْسَيْتُ لَكَ عَبْداً دَاخِراً
Allâhumma innî amsaytu laka ‘abdan dâkhiran,
Ya Allah! Malam ini daku datang kepada-Mu sebagai hamba-Mu yang hina,
لاَ اَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً، وَلاَ اَصْرِفُ عَنْهَا سُوْءاً،
lâ amliku linafsî naf’an wa lâ dharrâ, wa lâ ashrifu ‘anhâ sûan,
yang tidak mempunyai kemampuan untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari diriku.
اَشْهَدُ بِذَلِكَ عَلَى نَفْسِي، وَاَعْتَرِفُ لَكَ بِضَعْفِ قُوَّتِي، وَقِلَّةِ حِيْلَتِي،
Asyhadu bidzâlika ‘alâ nafsî, wa a’tarifu laka bidha’fi quwwatî wa qillati hîlatî
Dengan itu daku bersaksi atas diriku dan mengakui di hadapan-Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku,
فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ،
Fashalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,
وَاَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي وَجَمِيْعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ مِنَ الْمَغْفِرَةِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ،
wa anjizlî mâ wa’adtanî wa jamî’al mu’minîna wal mu’minât minal maghfirati fî hâdzihil laylah
kurniakan padaku malam ini, pengampunan dari-Mu sebagaimana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum mukminin dan mukminat,
وَاَتْمِمْ عَلَيَّ مَا آتَيْتَنِي
wa atmim ‘alayya mâ ataytanî
sempurnakan padaku apa yang telah Dikau kurniakan padaku,
فَاِنِّي عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ الْمُسْتَكِيْنُ الضَّعِيْفُ الْفَقِيْرُ الْمَهِيْنُ.
fainnî ‘abdukal miskînul mustakîn, adhdha’îful faqîrul mahîn
kerana aku adalah hamba-Mu yang miskin dan papa, lemah, fakir dan hina.
اَللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي نَاسِياً لِذِكْرِكَ فِيْمَا اَوْلَيْتَنِي،
Allâhumma lâ taj’alnî nâsiyan lidzikrika fîmâ awlaytanî
Ya Allah! Jangan biarkan daku lalai untuk mengingat-Mu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan,
وَلاَ لاِِحْسَانِكَ فِيْمَا اَعْطَيْتَنِي،
wa lâ li-ihsânika fîmâ a’thaytanî
dan kebaikan yang telah Dikau anugerahkan.
وَلاَ آيِسًا مِنْ اِجَابَتِكَ وَاِنْ اَبْطَأَتَ عَنِّي،
wa lâ âyisan min ijâbatika wa in abtha’ta ‘anni
Janganlah jadikan daku orang yang berputus asa dari balasan-Mu walaupun Dikau menundakannya,
فِي سَرَّاءَ اَوْ ضَرَّاءَ، اَوْ شِدَّةٍ اَوْ رَخَاءٍ،
fî sarra’ aw dharra’ aw syiddatin aw rakhâ’
dalam suka atau duka, bahagia atau derita,
اَوْ عَافِيَةٍ اَوْ بَلاَءٍ، اَوْ بُؤْسٍ اَوْ نَعْمَاءَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ
aw ‘âfiyatin aw bala’, aw bu’sin aw na’mâ’, innaka samî’ud du’â’.
dalam keselamatan atau bencana, sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan doa!
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)
.
.
Amalan Orang Uzur (Malam 21-30)
Cara beramal orang uzur di malam Lailatul Qadar.
1) Kepada orang tua dan lemah, telah dikira beramal Al Qadar sekiranya solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadhan. Imam Malik dan Imam Syafie berkata:
“Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”
2) Orang yang tidak sanggup solat malam yang panjang, bacalah:
- Ayat akhir surah Al Baqarah
- Ayat Kursi
- Surah Yaasin
- Surah Al Zalazah
- Surah Al Qafirun
- Surah Al Ikhlas
3) Bagi orang yamg kuat dan cergas;
- Bangunkan isteri dan anak
- Mandi, bersuci dan berwuduk
- Solat malam – Tahajjud,Taubat,Tasbih,Hajat,Istikharah
- Baca Al Quran.
Nabi SAW. bersabda:
“Sesiapa bangun pada malam lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu”. (Muttafaqun ‘alaih).
.
.
Fadilat Lailatul Qadar
Jika 10 hari pertama adalah
bulan penuh kerahmatan; 10 hari pertengahan Ramadhan sebagai
hari pengampunan segala dosa; Maka 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan
malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Padanya terdapat
‘Malam al-Qadar’ yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa.
.
Rasulullah SAW. bersabda:
“Sesiapa yang kehilangan malam
itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan
kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak
mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
.
.
TANDA LAILATUL QADAR
Ketenangan yang dirasai pada malam al-Qadar ini bersempena turunnya
malaikat beserta pelbagai rahmat dan berkat untuk hamba-Nya yang
benar-benar menghayati kedatangannya. Firman Allah SWT.:
“Turunlah malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Selamatlah malam itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5 – 6).
Rasulullah SAW bersabda:
“Pada saat berlakunya Lailatul
Qadaritu, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca sejuk tidak
terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit
dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan.” (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi).
.
Sebahagian ulama berpendapat, orang yang mendapat al-Qadar itu akan melihat beberapa tanda antaranya ialah:
a. Tanda malam Qadar ialah :
- Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
- Alam terang benderang walaupun berada di tempat gelap.
- Segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
- Tiada kedengaran suara salakan anjing.
- Mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
- Malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu
dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya
menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
.
b. Tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah:
- Pada paginya terbit matahari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
- Sinar mentarinya tidak terasa terlalu panas walaupun cahaya cerah memancar.
- Alam dan udara terasa begitu segar dan bersih.
- Terasa seperti diperkenankan segala doanya.
.
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat
ganjaran dari Allah Ta’ala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan
mata kasar.
Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai hikmahnya
tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada
semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.
.
Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan
berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh
merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan
lain.
Nabi SAW bersabda:
“Apabila malam akhir Ramadhan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umatku.” Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab: “(Musibah)
kerana perginya Ramadhan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua
sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta
seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
.
.
Diharapkan semoga anda semua mengisi malam tersebut dengan pelbagai
ibadah yang disarankan dan menjauhkan diri daripada semua perbuatan
maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan
keberkatan.
Bersamalah kita mengimarahkanlah 10 malam terakhir Ramadhan dengan
beribadat kepada Allah SWT secara ikhlas dan penuh keimanan,
mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Allah SWT yang kelebihan pahalanya
melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun umur kita.
.
والسلام