Dengan
Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, Selawat dan Salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi Wasallam serta para
sahabatnya.
|
|
SEJAK
beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih
pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media
elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan
menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan
lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha
menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam
bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis
yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang
sebahagian darinya adalah seperti berikut.
|
|
Diriwayatkan
oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan
dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
|
|
Namun
begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah
air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya
tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab
induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya
tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat)
sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini
merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis
dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan
wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih
dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam
tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam
mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya
tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama
ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang
dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
|
|
Rasulullah
S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan
pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya:
Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia
menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
|
|
Hadis
ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat
Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi
S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal
ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib
dan tarhib).
|
|
Mulla
Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari
seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w.
menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi:
Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang
mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini
maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka
bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia
termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam
pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang
hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis
yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa
dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia
berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama
orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah
syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan
mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan
wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
|
|
Di
dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin
untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering
dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang
sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti
contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu
meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan
ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah
seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari) Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir) Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya. |
|
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1. Kelebihan yang
disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para
sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama
dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi
kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun
setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai
kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan
seorang nabi.
2. Kelebihan yang
terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan
ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam
Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3. Kandungannya serta
ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya
tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam
hadis-hadis sahih.
4. Dalam sesetengah
risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan
ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata
ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
|
|
Oleh
itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di
peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti
ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus
Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah
palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada
hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat
kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala
sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan
dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
|
Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan