API DAN ASAL USUL JIN
Menurut al-Quran, Allah swt mencipta jin daripada api yang panas.
Berbeza dengan malaikat yang Allah cipta daripada cahaya. Allah
juga menjelaskan bahawa Dia menciptakan jin dan malaikat lebih dahulu
daripada manusia. Tetapi tidak diketahui secara tepat jarak waktunya
antara dua penciptaan itu.
Dalam al-Quran terdapat dua istilah api yang dijadikan jin itu. Ada yang dikatakan nar al-samum ( api yang sangat panas) dan ada pula diktakan marij (nyalaan api). Daripada tafsiran ulama, tidak ada perbezaan ketara antara keduanya. Cuma al-samum adalah sifat yang ditambahkan yang merupakan penjelas kepada ciri atau sifat marij.
Oleh itu jelas sifat-sifat api itu juga ada pada jin. Api bersifat
ringan, terdiri daripada campuran pelbagai warna dan ia tiada bentuk
yang tetap ; boleh memanjang, memendek, lentok ke kiri atau ke kanan dan
sebagainya. Dari segi faktanya jin dikatakan bergerak pantas ; boleh
terbang di udara dan menyelam di air. Jin juga diketahui ada
berbagai-bagai warna. Ia boleh mengubah bentuk tubuhnya badannya ;
memanjang, memendek, bulat, lonjong dan sebagainya.
Selain itu jin mempunyai beberapa kelebihan seperti tidak dapat dilihat
oleh manusia, dapat masuk ke dalam bumi dan mempunyai umur yang
panjang. Semua kelebihan-kelebihan itu adalah hasil permintaan jin yang
diperkenankan oleh Allah ketika awal-awal jin dicipta.
Daripada Ibn Abbas r.a.: “Allah menciptakan pemimpin jin daripada
nyalaan api. Kemudian dikatakan kepada jin yang baru sahaja dicipta itu:
Mintalah sesuka hatimu.’ Maka jin pun berkata: Aku meminta agar aku
dapat melihat tetapi aku sendiri tidak boleh dilihat, aku meminta agar
dapat masuk ke dalam bumi dan aku meminta supaya dipanjangkan usia dan
menjadi muda lagi sebelum mati.’”
PENGERTIAN JIN DARI SEGI BAHASA
Perkataan jin berasal daripada Bahasa arab yang terdiri daripada dua huruf iaitu Jim dan Nun “جن” yang bereti sesuatu yang tersembunyi sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran bermaksud :
"Maka ketika ia berada pada waktu malam Yang gelap, ia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (bersinar-sinar)"- ( Surah al-An’am :76)
Tiap-tiap perkataan yang beriringan daripada huruf jim dan nun maka
maknanya tersembunyi atau tidak kelihatan. Jin itu digelarkan dengan
nama sedemikian kerana ia tidk dapat dilihat dengan pandangan mata
zahir.
PENGERTIAN JIN DARI SEGI ISTILAH
Bermacam-macam definisi yang kita dapati mengenai jin ini tetapi
dapatlah diringkaskan menurut pandangan Syed Sabiq di dalam bukunya العقائد الإسلامية
Katanya jin itu : Suatu jenis roh yang berakal yang mempunyai kehendak.
Mereka adalah mukallaf sebagaimana manusia, tetapi mereka tidak
mempunyai jasad seperti manusia, tidak dapat dilihat dengan penglihatan,
tidak dapat disaksikan bentuk dan tabiat mereka yang asli dan mereka
mempunyai kuasa tersendiri untuk membentuk diri mereka.
Jin dicipta daripada apiiaitu lebih dahulu daripada manusia sebagaimana firman Allah swt :
"Dan jin pula, Kami jadikan Dia sebelum itu, dari angin api Yang panasnya menyerap ke liang bulu roma".(Surah al-Hijr :27)
"Dan ia telah menciptakan jin dari lidah api Yang menjulang-julang" (Surah ar-Rahman :15)
Firman-Nya lagi sebagai menghikayatkan kisah Iblis bermaksud :
"Apakah penghalangnya Yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang Dia Engkau jadikan dari tanah".-Surah
al-A’raf :12
Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Aishah r.ha.
خُلِقَتِ المَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الجَانُّ مِن نَارٍ وخُلِقَ آدم مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ
Maksudnya: “ Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada
api dan manusia dicipta daripada apa yang diceritakan kepadamu
(tanah).”- ( Riwayat Muslim )
Oleh itu jelaslah penciptaan manusia adalah kemudian, tetapi tidaklah
dapat diketahui secara tepat berapa tahunkah jaraknya penciptaan antara
dua makhluk ini.
Ibn Bashar al-Qurasyi di dalam kitabnya al-Mubtada daripada Abdullah
bin Amr bin al-As. Katanya: Allah mencipta jin ini sebelum Adam selama
dua ribu tahun.”
Ada pula pendapat lain yang mengatakan jaraknya selama 40 tahun. Walau
bagaimanapun jumlah ini tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana tidak
ada dalil sama ada daripada al-Quran atau daripada hadis Rasulullah saw.
Memadailah kita mengatakan bahawa manusia diciptakan kemudian daripada
jin. Jin adalah dicipta daripada api manakala manusia dicipta daripada
tanah sebagaimana firman Allah swt bermaksud :
"Apakah penghalangnya Yang menyekatmu
daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik
daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang Dia
Engkau jadikan dari tanah."-(Surah al-A’raf :12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan