Ahad, 14 April 2013

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

 
Proses pendidikan sentiasa sinonim dengan aktiviti perubahan. Teori behaviorism misalnya menekankan perubahan tingkah laku sebagai ukuran keberkesanan pencapaian objektif pembelajaran. Pendirian berkenaan juga disokong oleh sarjana perancangan kurikulum seperti Ornstien yang melihat reka bentuk kurikulum sebagai memenuhi keperluan perubahan.
Di Malaysia, dinamika perubahan dalam dunia pendidikan diberikan pelbagai nama seperti inovasi, reformasi dan transformasi. Hakikatnya, tanpa slogan yang muluk-muluk pun, pendidikan tetap tidak boleh lari daripada momentum perubahan. Namun, manusia memang tertarik dengan susunan kata yang indah seperti cogan kata dan tema tertentu.
Sambutan hari guru kali ini membawa tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Inovasi atau pembaharuan sudah menjadi antara tugas asasi guru, terutama dari segi amalan terbaik pendidikan. Guru wajib mencari jalan untuk menolong murid masing-masing menuju puncak jaya, selaras dengan semangat pendemokrasian pendidikan iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid.

Syarat penting inovasi ialah sikap properubahan dan tidak terikat dengan status quo. Istilah zon selesa sebenarnya tidak wujud dalam kamus seorang guru inovatif. Segala ikhtiar intervensi ialah bukti betapa kaum guru sentiasa iltizam dengan ikrar keguruan untuk membawa anak bangsa ke mercu kecemerlangan.

Bijak pandai mengatakan bahawa harapan ialah roda utama yang menyebabkan manusia terus bergerak. Guru sentiasa menyalakan harapan terhadap sebahagian murid yang berasa rendah diri justeru latar belekang sosioekonomi dan pengalaman hidup mereka yang tidak setara dengan rakan sebaya yang lebih bernasib baik. Dorongan dan kata-kata semangat oleh seorang guru inovatif yang peka terhadap potensi dan fakulti kanak-kanak umpama titisan air yang memulihkan daun-daun yang hampir layu.

Guru bukan lilin yang membakar diri, tetapi umpama matahari yang menyebarkan cahaya harapan dalam kehidupan insan. Kini, kaum guru telah menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran sebagai balasan kepada perkhidmatan yang diberikan. Walaupun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kerjaya ikhtisas yang lain, kaum guru telah diberi penghargaan yang cukup tinggi.

Sekadar senarai, ciri guru inovatif termasuk:

1   sentiasa mencari jalan bagi menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah

2   sentiasa peka akan tema keperluan murid dan memberikan tindak balas yang sesuai

3   cenderung kepada saranan ikhtisas: dapatan kajian tindakan sendiri / orang lain

4   membimbing murid dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang

5   menghormati buah fikiran dan pendapat rakan sekerja

6   memberi kerjasama dan sumbangan dalam program kecemerlangan sekolah

7   memudahkan jalan penerokaan idea dalam kalangan murid

8   mengoptimumkan potensi pengajaran sebaya di bilik darjah

9   menggunakan pengukuhan sebagai daya tarikan pembelajaran

10   menanamkan perasaan selesa dan selamat kepada semua murid dalam persekitaran bilik darjah


Proses transformasi pendidikan tidak lagi berlaku dalam skala yang kecil. Murid harus disediakan untuk berhadapan dengan cabaran global yang tidak menentu. Walaupun daya saing diutamakan, jati diri mesti kekal sebagai modal sosial masyarakat.

Negara maju berpendapatan tinggi bergantung kepada modal insan minda kelas pertama yang datang dari dunia pendidikan. Aplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap dibimbing oleh tujuan yang suci. Peranan guru inovatif tidak akan pernah berhenti...

Tiada ulasan:

Catat Komen